Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

‘3 bulan lawa, akhirnya 7 bulan aku merana’

Semua hendak cantik, tidak kira laki-laki atau perempuan.

Ramai juga yang mahu cepat dan terjebak menggunakan ‘produk timbang kilo’ - yang mempunyai bahan kimia terlarang.

Bahan-bahan itu termasuk merkuri, hidrokinon dan tretinoin.

Bercakap mengenai kesan buruk, Malaysiakini telah temu ramah dengan beberapa mangsa yang mendapat kesan teruk akibat penggunaan produk itu.

Muhammad Ilhami Abdul Latif, 19 , berkata kesilapannya sebentar itu telah menyebabkan masalah berlanjutan berbulan-bulan.

“Disebabkan pemakaian tiga bulan, aku merana tujuh tahun,” katanya kepada portal berita ini baru-baru ini.

“Tapi sifat tamak nak cantik aku masih berdegil membuatkan nafsu aku yang degil beli lagi walaupun muka aku dah teruk.”

Muhammad Ilhami Abdul Latif

Pemuda dari Rawan itu mengakui mengetepikan pertimbangan rasional semata-mata hendak memperoleh muka cantik.

Dia malah telah lama menggunakan produk itu, sejak dari darjah empat lagi.

“Masa itu memang aku terkejar-kejar nak putih dan pada masa sama nak dapat kulit yang licin.

“Harga produk RM 40. Set itu disertakan pencuci, krim siang dan malam. Sampai aku sapu di bahagian leher dan ketiak sebab terlampau obses nak cantik.

“Walaupun masa itu dah banyak keluar kenyataan haram guna produk timbang kilo sebab ada merkuri tapi aku buat bodoh sahaja,” katanya lagi.

Bagaimanapun, katanya, masalah jerawat yang dihadapinya terus berlarutan hingga umurnya mencecah 17 tahun.

Tujuh tahun itu, katanya, terpaksa pula dihabiskan untuk mencuba pelbagai jenis perubatan.

“Terlampau banyak sangat ikhtiar yang aku guna. Perubatan tradisional, bekam dan macam-macam.Tipulah kalau aku sendiri tak cari solusi untuk hilangkan jerawat.

“Bila aku teringat balik boleh mengalir air mata aku. Aku ada jerawat penuh di bahagian muka, ketiak, belakang badan dan punggung.

“Yang aku masih ingat, masa bangun pagi di asrama, katil aku penuh dengan tompok darah dan tapak tangan sebab aku garu.

“Sampai satu tahap aku kena tidur duduk sebab tidak mahu cadar ada kesan darah. Benda itu semua latih aku hidup dengan dia jadi aku sudah biasa,” katanya dengan takungan air mata.

Sindiran dan hinaan tidak membuatkan beliau patah semangat tapi kata-kata mereka membuatkan Ilham bangkit.

“Pernah rasa nak nangis bila keseorangan oleh kerana hinaan.

“Ada yang panggil aku kertas pasir, tepung penyumbat, kawah dan ada yang samakan aku dengan satu watak di komik yang berjerawat iaitu Bipop.

“Tapi disebabkan aku seorang yang periang aku boleh lupa dengan semua hinaan yang dilemparkan,” katanya.

Bipop, karektor dalam komik Lawak Kampus

Pelbagai cara diusahakan untuk pulih keadaan kulit muka kembali normal hingga beliau berjumpa dengan doktor.

"Nak atau tak nak aku perlu lakukan sesuatu. Aku pun ikut pantang tak makan itu dan ini tapi masih tak surut jerawat malah makin bertambah. Walhal aku sudah berhenti guna produk itu.

“Aku pun pergi jumpa doktor untuk luahkan masalah dan tanya apa sebenarnya masalah kulit muka aku.

“Setelah semua selesai, Doktor beri aku pencuci muka, krim siang dan malam yang berjumlah RM500. Aku jadikan rutin harian apa yang diberi. Genap tujuh bulan muka aku kembali normal dan tidak seperti dulu,” katanya.

‘Muka panas, jerawat senang keluar’

Sementara itu, Mayle Suandi, 24, berasal Cheras juga merupakan mangsa yang terjebak dalam penggunaan produk timbang kilo.

“Pada tahun 2016, merupakan tahun saya mencuba menggunakan produk beracun ini. Saya terpengaruh dari kawan saya.

“Saya tengok kulit dia cantik sangat. Saya pun tanya dan dia jawab pakai produk timbang kilo.

“Saya tidak mahu salahkan kawan sebab memang saya sendiri yang nak.

“Masa mula saya pakai kulit muka saya memang cantik hingga orang pun mula bertanya saya pakai produk apa. Dengan yakin saya beritahu pada mereka,” katanya.

Mayle berkata, sehingga satu tahap kulit mukanya sikit demi sikit naik jerawat hingga menampakkan nanah dan berdarah. Penderitaan yang tidak dapat dilupakan.

“Akhir tahun 2017 merupakan tahun yang malang bagi saya. Walaupun saya sudah berhenti dari menggunakan produk tersebut.

“Kesan dia lepas sahaja berhenti guna muka saya rasa panas dan jerawat senang keluar. Nak menangis pun sudah tiada guna sebab salah sendiri,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemu ramah.

Beliau juga menggunakan perubatan tradisional dan bekam tetapi tidak menunjukkan hasil yang positif hingga beliau berjumpa doktor.

“Pada bulan April 2018, Saya jumpa doktor dengan harapan jerawat saya dapat pulih segera. Itu pun kawan saya yang gesa saya.

“Pada masa itu, saya kena keluarkan RM 300 hanya untuk dapatkan ubat dari doktor. Doktor pun cakap bukan senang nak cepat pulihkan balik walaupun sudah berhenti guna.

“Selepas dapat rujuk doktor,syukur sangat sebab saya boleh nampak muka saya makin pulih hari demi hari, katanya dengan nada gembira.

Mayle Suandi

Hampir lima bulan beliau berjuang untuk dapatkan kulit muka yang sihat seperti orang lain. Akhirnya tercapai apa yang diinginkan oleh Mayle.

Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai hinaan dan sindiran dari orang sekeliling terhadap kulit mukanya tetapi Mayle hanya pekakkan telinga.

“Tipulah kalau saya cakap tidak murung bila ada orang hina. Tapi saya ini jenis yang tidak malu sebab saya sendiri buat apa saya kisah apa mereka cakap.

“Banak sangat kena hina itu dan ini lagi-lagi kawan sendiri. Makcik pun ada juga yang tak senang duduk melihat keadaan kulit muka saya. Ada sahaja yang nak ditegur

“Hingga satu tahap, jerawat ini melatih hidup saya menjadi tabah,” katanya.

Mayle juga ada kata-kata untuk pengguna di luar sana agar tidak senasib dengan apa yang dilalui oleh beliau.

“Lebih baik kita mencegah dari merawat sebab kita nak merawat itu menggunakan wang yang banyak. Kita beli produk RM 30 tapi kita kena merawat hingga RM300. Sangat melampau.

“Kena pandai cari produk yang selamat walaupun kesan yang diterima lambat. Kita sebagai pengguna perlu bijak.

“Merkuri ini kesan dia bukan sahaja di muka malah di organ dalaman terkesan juga. Jadi berhati-hati dalam pemilihan produk penjagaan kulit muka,” katanya.

Bagaimanapun, pesanan tepat yang mereka ingin sampaikan ialah janganlah kita terjebak dalam penggunaan produk timbang kilo walau dalam keadaan terdesak sekalipun.

Akhirnya, mereka berdua berjaya mendapatkan hasil yang efektif pada kulit wajah dan usaha yang membuahkan hasil.

Biar lambat asal selamat.

Berkaitan
Jangan ghairah nak cepat putih dan gebu, nasihat Siti
'Kosmetik timbang kilo': Dengarlah nasihat ahli farmasi ini