Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Didakwa miliki saham media: Mahkamah batal kelayakan MP Thai

GLOBAL | Mahkamah Perlembagaan Thailand hari ini membatalkan kelayakan pemimpin utama Parti Masa Depan (FFP) Thanathorn Juangroongruangkit sebagai ahli parlimen selepas beliau didapati bersalah kerana melanggar undang-undang pilihan raya.

Ahli politik berumur 40 tahun itu didapati bersalah kerana melanggar Seksyen 98(3) Perlembagaan apabila masih mempunyai pegangan saham dalam Syarikat Media V-Luck ketika mendaftar sebagai calon pilihan raya umum Thailand yang berlangsung pada 24 Mac lepas.

Pada 23 Mei lepas, mahkamah yang sama menggantung sementara tugas beliau sebagai ahli parlimen untuk siasatan sehari sebelum sesi parlimen baharu bermula.

Bagaimanapun, pemimpin pembangkang itu berulang kali menyatakan bahawa pegangan saham tersebut telah dijual pada Januari, sebelum beliau mendaftar sebagai calon pilihan raya umum.

Pada Pilihan Raya Umum Mac lepas, Parti Masa Depan menduduki tempat ketiga, dengan memenangi 6.2 juta undi dan 80 kerusi di parlimen.

Sementara itu, Thanathorn berkata beliau masih memimpin parti itu dan akan terus menjalankan tanggungjawabnya kepada rakyat meskipun didapati bersalah oleh mahkamah hari ini.

“Saya ada banyak kerja yang harus dilakukan. Masih banyak lagi kempen… Kes ini (saham syarikat media) adalah kes peribadi saya, tiada kena mengena dengan parti,” katanya kepada pemberita selepas keputusan mahkamah itu diumumkan.

Ditanya sama ada keputusan itu adil, beliau berkata, “biar rakyat yang tentukan”.

Katanya keputusan itu tidak bersandarkan kepada bukti dan fakta yang benar.

Sementara itu, para penyokongnya yang berkumpul di luar mahkamah meluahkan rasa tidak puas hati dan marah dengan keputusan itu.

Bagaimanapun, mereka lega apabila Thanathorn tidak dipenjarakan dan tidak diharamkan daripada berpolitik.

“Terus berjuang Thanathorn, perjuangan perlu diteruskan,” luah seorang penyokongnya.

- Bernama