Dr M sedia rombak kabinet selepas kekalahan di Tg Piai
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sedia mempertimbangkan rombakan kabinet diadakan susulan kekalahan Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil Tanjung Piai, Sabtu lau.
Bercakap kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu di Petaling Jaya hari ini, beliau memberitahu sidang akhbar itu bahawa dirinya akan mengkaji semula prestasi menteri-menteri kabinet.
“Kita juga berpendapat ada perlunya adakan rombakan kabinet. Saya sebagai PM bertanggungjawab rombak kabinet dan saya dengar pandangan-pandangan mereka.
“Tapi bukan la hari ni bukan esok, tapi setelah kaji pencapaian dan kebolehan menteri-menteri yang ada sekarang ini. Lepas itu baru bincang tentang kemungkinan kita adakan rombakan kabinet,” katanya.
Tanpa menyebut sebarang garis masa, Mahathir tidak menolak kemungkinan rombakan itu akan dilakukan sebelum sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) yang akan dianjurkan oleh Malaysia pada November tahun depan.
Walau bagaimanapun, Mahathir berkata kerajaan mesti berhati-hati sebelum membuat "perubahan radikal" menjelang acara antarabangsa yang besar dan penting itu.
“Saya dah sebut tadi, kalau nak rombak, tindakan merombak itu sendiri bukan penyelesaian. Malah mungkin jadi masalah.
“Sebab itu kena hati-hati. Kena tahu prestasi menteri sekarang, sama ada nak gugur, pindah dan sebagainya. Orang baru (untuk dilantik sebagai menteri) pun kena tahu betul-betul,” katanya.
Dr Mahathir berkata, meskipun beliau adalah perdana menteri, tetapi pertimbangan jawatan juga perlu diberi kepada parti-parti komponen PH.
“Saya tak boleh begitu mudah menukar atau gugur (menteri) begitu saja. Sebab itu ambil masa lebih sedikit,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai