Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PKR Sarawak tetap batal konvensyen 23 Nov, kata Baru

PKR Sarawak kekal dengan pendirian mereka untuk membatalkan konvensyen peringkat negeri parti itu yang dijadualkan berlangsung pada 23 Nov nanti.

Pengerusinya, Baru Bian, berkata pembatalan itu adalah keputusan majoriti ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR dan bukannya keputusan peribadi beliau pengerusi.

"Berbeza dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan nasional, kami ingin menyatakan bahawa keputusan yang dibuat oleh MPN Sarawak untuk membatalkan konvesyen negeri adalah berdasarkan keputusan majoriti.

"Ahli MPN terdiri daripada 42 orang. Daripada jumlah itu 32 orang mencapai kata sepakat untuk membatalkan konvesyen tersebut. Ini merupakan majoriti mutlak.

"Daripada 32 ahli MPN Sarawak yang membuat keputusan tersebut empat daripadanya adalah anggota parlimen, tiga Adun, 17 ketua cabang, lima timbalan ketua cabang dan sembilan pimpinan parti Sarawak.

"Hanya 11 ketua cabang dan dua ketua angkatan muda keadilan (AMK) yang tidak sependapat dengan kumpulan majoriti, seorang lagi mengambil pendirian berkecuali," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Baru berkata, walaupun ada 11 ketua cabang yang menentang pembatalan konvesyen tersebut, namun tiga timbalan ketua mereka bersependapat dengan MPN Sarawak.

Rasa amat kecewa

Pada 15 Nov lalu MPN Sarawak mengeluarkan kenyataan mengancam untuk membatalkan konvensyen berkenaan ekoran pembatalan jemputan kepada Azmin Ali bagi merasmikan Kongres Nasional Pemuda PKR.

Lazimnya kongres sayap PKR dirasmikan oleh timbalan presiden.

PKR Sarawak juga berpendapat selagi isu itu tidak diselesaikan secara adil, konvensyen parti itu di peringkat di Miri akan terbatal.

Bagaimanapun, Anggota Parlimen Miri, Michael Teo Yu Keng, menegaskan konvensyen itu akan tetap diteruskan walaupun ada ancaman untuk membatalkannya.

Teo berkata beliau mendapat restu daripada Anwar dan pengarah konvensyen, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk meneruskan program itu.

Ditanya tentang keputusan pimpinan pusat untuk meneruskan konvensyen itu, Baru berkata, mereka - khususnya Anwar selaku presiden - mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Bagaimanapun Baru mendakwa keputusan pihaknya adalah berdasarkan lunas undang-undang dan perlembagaan parti.

"Ingin kami nyatakan bahawa kenyataan bersama kami ini bukanlah berniat untuk mengugut mana-mana pihak. Kami sangat terkesan dan terkilan dengan beberapa peristiwa yang mengkhianati prinsip keadilan dan demokrasi di dalam parti.

"Kami amat kecewa apabila pimpinan parti di peringkat nasional enggan mengiktiraf perjanjian bersama bahawa PKR Sarawak dan PKR Sabah berhak menggunakan autonomi dalam urusan di peringkat negeri.

"Konvensyen keadilan terletak di bawah bidang kuasa negeri tetapi keputusan yang dibuat oleh ibu pejabat PKR untuk meneruskan konvesyen telah sama sekali mengabaikan kehendak majoriti yang mewakili MPN PKR Sarawak dan sekaligus melanggar perjanjian bersama tersebut," katanya.