Kekalahan di Tg Piai mesej rakyat agar PH tunaikan janji, kata Guan Eng
Kekalahan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Sabtu lepas adalah mesej rakyat kepada kerajaan supaya menunaikan janji manifesto, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
“Apa yang rakyat mahu lihat adalah bahawa kita kena menunaikan janji-janji yang kita telah buat. Oleh itu, saya rasa adalah penting bahawa PH memberi tumpuan untuk menunaikan janji-janji tersebut seperti mana yang digariskan dalam manifesto pilihan raya PH.
"Saya yakin kalau kita berusaha bersungguh-sungguh, rakyat akan membuat penilaian sendiri, dan membuat keputusan yang memihak kepada kerajaan PH,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman antara SME Bank Bhd, Malaysia Rail Link Sdn Bhd and China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) di hari ini.
Bagaimanapun, Lim yang juga Menteri Kewangan menepis dakwaan isu peruntukan belanjawan untuk Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) adalah satu-satunya penyebab kekalahan Pakatan Harapan pada PRK Tanjung Piai.
PRK Tanjung Piai yang berlangsung pada 16 Nov menyaksikan calon Barisan Nasional Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenanginya dengan majoriti 15,086 undi.
Wee bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal, memperoleh 25,466 undi mengatasi calon PH, Karmaine Sardini yang mendapat 10,380 undi, calon Gerakan Wendy Subramaniam (1,707), diikuti Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Berjasa (850) and dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock (380) dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar (32).
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai