Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Polis Hong Kong kepung universiti, puluhan penunjuk perasaan ditahan

GLOBAL | Puluhan penunjuk perasaan ditahan selepas pihak polis Hong Kong bertindak mengepung sebuah universiti pada Isnin, memetik media tempatan lapor agensi berita Anadolu.

Penunjuk perasaan berkumpul di Universiti Politeknik Hong Kong sejak minggu lalu, menjadi ia antara lokasi panas ekoran pergolakan politik yang telah berlarutan selama lebih lima bulan.

"Kami lihat kepulan asap di kawasan universiti. Ribuan orang terperangkap di kampus selepas polis mengepung dan menyekat semua laluan keluar pada pukul 7.30 malam (1130GMT) Ahad," kata seorang wakil pelajar Oiwan Li.

Polis telah menahan lebih 50 orang, lapor Hong Kong Free Press.

Hong Kong wilayah autonomi di bawah China sejak tahun 1998, dibelenggu beberapa siri protes yang tercetus pada Jun kerana membantah pentadbiran Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam, yang mahu meminda rang undang-undang ekstradisi, yang jika diluluskan, akan membenarkan pelarian dipindah ke kawasan di mana Hong Kong tidak mempunyai bidang kuasa atau mencapai sebarang persetujuan untuk menghalalkan ekstradisi ke tanah besar China.

Kerajaan telah menarik balik cadangan itu, namun penunjuk perasaan masih meneruskan demonstrasi menuntut beberapa pembaharuan lain selain mendakwa polis telah bertindak ganas.

Dalam perkembangan berkaitan Mahkamah Tinggi pada Isnin memutuskan larangan penggunaan topeng muka yang dikuatkuasakan kerajaan bertentangan dengan undang-undang kecil perbandaran.

Larangan memakai topeng muka dikuatkuasakan pada 5 Okt selepas penunjuk perasaan dikatakan cuba menyembunyikan identiti mereka. Ramai telah ditahan, menyemarakkan lagi kemarahan penunjuk perasaan.

- Bernama