Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

BN 4, PH 5: Kita masih menang tapi...

KATA MP l Dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai terdapat sebuah kampung bernama Rimba Terjun. Nama kampung ini diambil dari kisah benar kejadian rimba runtuh dan terjun ke laut Selat Melaka akibat hakisan.

Pada 16 November lalu, kekuatan parti Pakatan Harapan (PH) yang sedang memerintah juga terhakis teruk sehingga kalah dalam skala besar yang parah pada pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai.

Untuk satu dua hari ini penyokong MCA dan BN berhak untuk bergembira atas kejayaan mereka di PRK Tanjung Piai , samalah seperti penyokong PH pernah berpesta selepas berjaya menjatuhkan BN yang telah berkuasa lebih 60 tahun pada pilihan raya umum 9 Mei 2018.

Pemimpin dan penyokong PH janganlah terlalu bersedih sangat hingga hilang semangat apabila dibadai teruk di Tanjung Piai Sabtu lalu. Kita di pihak PH patutlah bersyukur kekalahan PRK Tanjung Piai berlaku sekarang iaitu 19 bulan sahaja selepas PH menjadi kerajaan.

Kekalahan ini berlaku di peringkat awal. Masih ada masa untuk PH membuat bedah siasat atau post-mortem. Mengkaji di mana salah dan silap. Belum lagi terlambat. Memang biasalah dalam kehidupan, bila terantuk barulah tengadah. Kehidupan politik pun begitu juga.

Penyokong PH jangan lemah semangat. Kita baru kalah satu pertempuran di Tanjung Piai. Kita belum kalah peperangan. PRU-15 akan sampai dalam tiga setengah tahun lagi. PH hanya kalah empat dari sembilan pilihan raya kecil sejak 9 Mei 2018.

PKR terlibat dalam empat PRK itu dengan keputusan tiga menang dan satu kalah. DAP pula terlibat dalam tiga PRK dengan keputusan dua menang dan satu kalah. Manakala parti Bersatu terlibat dalam dua PRK iaitu di Semenyih dan Tanjung Piai, malangnya kedua-duanya tewas.

Dari segi stastik BN tewas lima kali manakala PH tewas empat kali. Kalau dalam liga bolasepak, PH masih dikira pihak yang menang. Hanya yang bimbang PH tewas empat kali hampir berturut-turut bermula dari Cameron Highland, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai.

Saya tidak mahu peristiwa rimba terjun akibat hakisan di Tanjung Piai menjadi metafora keruntuhan PH berulang.

Saya seorang yang positif. Saya yakin PH boleh bangkit semula. Resepi PH untuk terus menang dalam PRU-15 akan datang masih ada dan ampuh.Resepi kemenangan itu ada dalam Buku Harapan yang merupakan Manifesto PH dalam pilihan raya umum yang lalu.

Rakyat puji manifesto PH. Badan-badan bukan kerajaan (NGO) sokong manifesto PH. Buku Harapan iaitu manifesto PH itu masih jadi dokumen rujukan. Rakyat percaya janji-janji yang terdapat dalam Buku Harapan itu.

Jadi tidaklah pelik kalau rakyat di Tanjung Piai dan di pilihan raya kecil yang lain di mana PH kalah. Faktornya adalah kerana kerajaan PH yang memerintah tidak menunaikan janji.

Tidakkah kita lupa satu lirik lagu Melayu yang antara lainnya berbunyi....." Jangan suka berjanji, nanti tidak ditepati, kerana janji membawa akibat..."?

Sebagai ahli parlimen PH yang mendukung kerajaan saya berharap Majlis Presiden Pakatan Harapan segera melakukan bedah-siasat atau post-mortem untuk mencari punca-punca utama kekalahan di PRK Tanjung Piai.

Saya percaya sangat kepimpinan tertinggi PH tahu apa yang patut dilakukan. Bagi saya, satu darinya ialah kerajaan yang ada sekarang perlu laksanakan manifesto PH yang telah kita dokumenkan di dalam Buku Harapan.

Saya berpendapat bagi mempastikan gabungan PH terus berada dalam landasan yang betul, maka peranan Majlis Presiden PH hendaklah diperkasakan supaya Majlis Presiden PH yang memimpin kerajaan PH, bukan sebaliknya.


HASSAN KARIM ialah anggota parlimen Pasir Gudang dan pemimpin PKR.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.