Ketika 'syaitan reformasi' muncul
ULASAN | Mengkritik pihak lain berbanding mengkritik diri sendiri bukan sahaja berbeza, malah ia jauh lebih sukar. Dan perkara-perkara sukar ini tidaklah popular untuk diberi perhatian selagi kepala kita belum terhantuk.
Kritikan saya ini cuba lari jauh daripada ungkapan analisis dan kekecewaan PRK Tanjung Piai, iaitu tempat saya pernah bertanding - dan tewas - suatu ketika dulu.
Tempat itulah juga yang memperkenalkan saya kepada dunia politik yang serba misteri dan menyeramkan.
Faktor yang membawa kita kepada suasana hari ini adalah agenda reformasi. Saya kira, malaikat pun sudah 'naik bosan' mendengar zikir reformasi oleh kita berulang kali.
Bagi saya yang sudah ‘hilang dara’ dalam politik, reformasi ini pada hari ini telah menjadi syaitan yang sangat besar buat kita, khususnya ahli dan penyokong PH.
Mengapa saya berkata demikian? Kita - para penyokong mahupun ahli parti dalam PH - tentu memahami reformasi melalui makna yang berbeza daripada apa yang difahami rakyat, khususnya mereka yang tinggal di luar atau sepatuh bandar.
Kita bercakap berdegar-degar tentang pentingnya mereformasi institusi dan sistem. Ya, betul, tetapi menghairankan sekali apabila benda baik itu tidak dirasai oleh rakyat di luar bandar.
Reformasi ini tidak difahami oleh masyarakat luar bandar khususnya Melayu Islam kerana di tangan mereka masih tergenggam cebisan makanan dari kerajaan BN.
Apakah maksud kata-kata saya ini?
Maksudnya, reformasi gagal dijadikan suatu ‘barang’ yang mampu dipegang, dirasai dan dinikmati oleh rakyat khususunya yang ada di luar bandar atau kawasan separa bandar.
Semua sangat yakin
Bagi kebanyakkan rakyat, mereka memahami reformasi sebagai duit belanja, wang simpanan, ongkos perubatan, bantuan kebajikan. Semua itu dirasakan mereka sepatutnya menjadi ‘percikan’ reformasi .
"Barang apa reformasi ini?"
“Reformasi ni, balik-balik salahkan BN. Balik-balik, salahkan BN."
“Reformasi ni dapat bagi aku makan apa?"
Demikian antara ungkapan 'tidak cerdik' rakyat yang langsung gagal difahami oleh PH - atau kerajaan rakyat - sekarang. Gelombang bahasa rakyat tidak lagi difahami oleh orang PH yang sedang bersandar di bilik-bilik pejabatnya.
Lebih malang, kita mengatakan bahawa ‘bahasa reformasi rakyat’ itu sebagai sesuatu yang salah. Lalu kita menyamakan bahasa mereka dengan budaya BN.
Kita betul-betul yakin, bahasa reformasi kita lebih benar daripada rakyat.
Reformasi mendorong kita berfikir secara idealis, bukan praktis. Kita berasakan reformasi adalah jalan mengangkat marabat rakyat, sedangkan pada hakikatnya, kita pun mahu mengekalkan kuasa seperti BN.
Ini realiti bawah sedar kita semua. Dan ia belum pernah kita akui secara terang-terangan.
Kita khayal dengan pujian dan penarafan (rating) penilai antarabangsa. Kita leka memberi alasan bahawa kita sedang sibuk mengurus masalah yang ditinggalkan oleh BN.
Khayalan ini membawa kita lupa kepada hakikat dalam politik: siapa mendapat apa. Dan rakyat - sehingga kini - masih belum mendapat apa-apa daripada kita.
Di sinilah ‘syaitan reformasi ’ muncul. Dan kita berada di sini pun, kerana itulah.
Rakyat tidak meminta PH menghantar seorang malaikat untuk dijadikan wakil rakyat untuk mereka. Rakyat hanya mahu masalah harian yang ada di depan mata mereka diatasi dengan bantuan wakil rakyat dan kerajaan.
MAHDZIR IBRAHIM ialah ahli jawatankuasa DAP Johor.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai