Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

PAS: Kemenangan calon BN kejayaan Muafakat Nasional

PRK TG PIAI | Kemenangan besar calon BN Wee Jeck Seng di Tanjung Piai adalah kejayaan pembangkang melalui kerjasama Muafakat Nasional, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

"PAS mengucapkan tahniah atas kemenangan calon BN yang mewakili suara pembangkang di PRK Tanjung Piai, dan menyifatkan keputusan ini sebagai kejayaan bersama Muafakat Nasional.

"Kemenangan ini menunjukkan penerimaan rakyat bermasyarakat majmuk terhadap agenda penyatuan ummah, seterusnya mengorak langkah bagi mengukuhkan kerjasama dan integrasi yang lebih erat di peringkat nasional," katanya pada suatu kenyataan malam ini.

Abdul Hadi juga merakamkan penghargaan kepada para ahli dan petugas PAS yang membantu dalam kempen PRK ini dengan penuh kepatuhan.

"Kepada Wee Jeck Seng, marilah kita bersama membela kebajikan rakyat dan mengukuhkan agenda perpaduan nasional dengan sebaiknya di parlimen," katanya lagi.

Pada PRK Tanjung Piai, PAS memberikan sokongan penuh kepada Wee untuk merampas kembali kerusi berkenaan daripada PH.

PAS juga telah mengarahkan anggota parti itu yang mengundi di Tanjung Piai supaya memangkah Wee dan bukan calon Berjasa - salah satu parti yang membentuk Gagasan Sejahtera bersama PAS - yang turut bertanding.

Keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan calon BN Wee Jeck Seng menang dengan majoriti besar, iaitu 15,086 undi.

Beliau mendapat 25,466 undi manakala calon PH Karmaine Sardini hanya 10,380 undi.

Calon lain yang bertanding iaitu Wendy Subramaniam daripada Gerakan mendapat 1,707 undi, Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) mendapat 850 undi, dan dua calon bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing meraih 380 dan 32 undi.