Graduan perlu berani pertahan hak golongan tertindas - Daim
Graduan universiti perlu berani mempertahankan hak dan pendirian yang benar serta terbuka untuk meraikan sebarang perbezaan pendapat, kata bekas pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Dr Daim Zainuddin.
Katanya graduan tidak perlu takut menyuarakan pendapat mereka kerana kesannya amat buruk apabila situasi itu akhirnya akan melahirkan generasi yang hanya tahu mengikut arahan sahaja seperti 'lembu dicucuk hidung'.
"Untuk mencapai matlamat itu, universiti bertanggungjawab memupuk budaya debat agar rakyat Malaysia mengenali cara terbaik dalam berhujah menegakkan fakta tepat demi maruah bangsa dan negara,” katanya semasa berucap selepas menerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Ke-17 hari ini.
"Ini kerana kita mahukan generasi muda yang berani mempertahankan pendirian mereka, berani pertahan hak golongan tertindas yang tidak mampu bersuara sendiri dan berani bersaing secara sihat dalam mengekalkan kemakmuran negara, bukannya bersaing untuk merosakkan apa yang telah dibina selama ini," tambahnya.
Bekas Menteri Kewangan itu menerima anugerah berkenaan daripada Canselor UMT, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berikutan sumbangan besar beliau dalam membangunkan ekonomi negara.
Selain itu, bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) keenam, Laksamana (B) Dr Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin turut menerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan.
Seramai 2,902 graduan termasuk 70 penerima Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana (145 penerima), Ijazah Sarjana Muda (2,591 penerima) dan Diploma (96 penerima) menerima anugerah masing-masing.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut mencemar duli hadir ke majlis itu yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sementara itu Naib Canselor UMT, Prof Dr Nor Aieni Mokhtar berkata usaha keras semua warga universiti telah membuahkan hasil apabila pelbagai pencapaian diraih sepanjang tahun ini.
Antaranya Anugerah ‘The Best Massive Open Online Course Award’ buat kali ketiga berturut-turut sejak 2016 di International University Carnival on E-Learning, Anugerah Malaysia's Research Star Award dan Pengiktirafan Jurnal Creme oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, serta Anugerah Akademik Negara Ke-13 bagi kategori Anugerah Pengajaran.
Sehingga Oktober tahun ini juga katanya UMT telah menerima 118 geran penyelidikan bernilai RM10.3 juta daripada pelbagai agensi dalam dan luar negara.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai