'Saifuddin turuti arahan ketua seperti boneka'
Krisis dalaman PKR terus berlanjutan apabila seorang anggota majlis pimpinan pusat (MPP) parti itu, Zakaria Abdul Hamid melemparkan kecaman terhadap setiausaha agungnya, Saifuddin Nasution Ismail.
Ini katanya berikutan perasmian kongres Pemuda PKR (AMK), yang secara tradisi dilakukan timbalan presiden diubah supaya dirasmikan timbalan perdana menteri yang tidak mempunyai jawatan dalam parti.
Zakaria berkata, pentadbiran parti itu semakin bercelaru dengan kenyataan dan tindakan tidak profesional Saifuddin yang digelarkannya seperti 'boneka'.
"Saya berpandangan bahawa ini bukan politik baru seperti dicanangnhya tetapi ialah politik kuno yang bersifat feudalistik.
"Hanya menurut arahan ketuanya seperti boneka yang tulang belakangnya dikawal tangan ghaib," katanya dalam satu kenyataan.
PKR sekali lagi terpalit kontroversi baru-baru ini apabila nama Timbalan Presidennya, Mohamed Azmin Ali digugurkan sebagai perasmi Kongres AMK.
Pada 4 Nov lalu, Azmin meminta wartawan bertanyakan kepada Saifuddin kenapa beliau tidak dijemput bagi merasmikan kongres berkenaan.
Tindakan membatalkan jemputan itu mengundang bantahan 21 pemimpin pemuda PKR yang diketuai Timbalan Ketuanya, Muhammad Hilman Idham.
Semalam, Saifuddin turut memberikan respon terhadap kenyataan Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian yang mengancam akan membatalkan konvensyen peringkat negeri Sarawak yang dijadual berlangsung di Miri pada 23 November ini jika isu itu tidak diselesaikan.
Saifuddin menggesa Baru menghadiri mesyuarat biro politik parti itu supaya sebarang rasa tidak puas hati diselesaikan melalui saluran betul.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata Saifuddin sememangnya dikenali sebagai individu yang gagal mengurus organisasi dengan baik sejak sekian lama.
"Beliau juga tidak berani bertanding dalam pemilihan parti dan hanya mengharap talian hayatnya disambung oleh presiden atas kapasiti teman lama dan simpati. Kalau nak dilihat prestasi? Hanyut tanpa haluan," katanya.
'Tak mahu serang balas Zakaria'
Sementara itu Saifuddin ketika dihubungi Malaysiakini berkata, beliau tidak mahu "menyerang balas" Zakaria yang juga sahabat baiknya melalui media berhubung isu berkenaan.
Bagaimanapun menyarankan agar Zakaria yang menang sebagai anggota MPP hadir dalam mesyuarat akan datang dan membangkitkan apa juga perkara yang menimbulkan ketidakpuasan hatinya.
"Saya hormati Zakaria, dia sahabat karib saya dalam PKR sejak lebih 20 tahun lalu, jatuh bangun dalam parti dan dia sangat faham tentang parti PKR.
"Saya tak akan tempelak seorang kawan melalui media, walaupun itu dia buat pada saya. Syor saya pada Zakaria datang mesyuarat.
"Hormati saluran, buat keputusan dalam parti, dalam mesyuarat MPP akan datang dia boleh tanya, apakah saya boneka, buat keputusan sendirian. Saya akan jawab dengan tenang," jelasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai