‘Pemimpin PH berserta isteri tidak bermewah dengan harta rakyat’
Beberapa jam sebelum tirai kempen pilihan raya kecil Tanjung Piai di Johor, berlabuh, Dr Mahathir Mohamad mengutus surat kepada pengundi, merayu mereka menyokong calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini.
Dan perdana menteri tidak dapat mengelakkan diorinya daripada membidas bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor.
Mahathir membidas mereka apabila menyentuh mengenai usaha yang dijalankan oleh kerajaan PH untuk memulihkan keadaan ekonomi negara dan mengurangkan jurang pendapatan dengan melaksanakan langkah-langkah jangka pendek dan jangka panjang seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
"Perancangan-perancangan ini mengambil sedikit masa tetapi rakyat akan mula merasai nikmat tidak lama lagi.
"Saya percaya jika rakyat menilai dengan baik, sudah pasti mereka akan menilai dan merasai nikmat-nikmat yang datang walaupun secara beransur-ansur.
"Selain itu, mereka juga pasti dapat melihat betapa pemimpin-pemimpin dari parti kerajaan sekarang berserta isteri mereka tidak bermewah-mewah dengan harta rakyat," katanya.
Serbuan polis ke atas kediaman yang dikaitkan dengan Najib sebulan selepas pilihan raya umum pada 9 Mei 2018 menyaksikan rampasan wang tunai dari pelbagai negara, 2,200 cincin, 1,400 kalung, 567 beg tangan berjenama dan jam tangan mewah yang dianggarkan bernilai hampir RM1 bilion .
Perdana menteri keenam itu sedang berdepan perbicaraan berhubung dakwaan penyelewengan dana daripada SRC International Sdn Bhd dan 1MDB.
Isterinya pula berdepan 19 tuduhan pengubahan wang haram dan tuduhan rasuah.
Menyedari bahawa 18 bulan telah berlalu sejak menakluki Putrajaya, Mahathir berkata PH telah melalui satu tempoh yang sukar untuk mengembalikan negara ke landasan yang betul dan memperbaiki kerosakan lalu yang begitu teruk yang dilakukan oleh pentadbiran terdahulunya.
“Memang benar kita tidak boleh menyalahkan kerajaan terdahulu (secara berterusan) di dalam usaha memajukan negara dan memastikan kesejahteraan rakyat.
"Di masa yang sama, sudah pasti rakyat yang mengikuti perkembangan kes-kes di mahkamah akan menyedari bahawa kerosakan yang berlaku akibat perbuatan rasuah dan salah guna kuasa, yang hampir menjahanamkan negara ini.
"Kerana itulah salah satu keutamaan utama kerajaan ialah mengambil langkah-langkah jelas dan tegas untuk memastikan perbuatan-perbuatan tersebut tidak berulang dan pemimpin-pemimpin negara tidak berpeluang mencari kemewahan diri tanpa rasa takut akan hukuman yang menanti," katanya.
Menegaskan bahawa kerajaan PH percaya dalam politik kesederhanaan, Mahathir berkata terdapat usaha untuk melaga-lagakan rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
"Apabila berdepan dengan orang Melayu, mereka menuduh kerajaan ini walaupun dipimpin oleh orang Melayu, menggadai segalanya kepada orang bukan Melayu.
"Apabila mereka menemui orang bukan Melayu, mereka menghasut bahawa pemimpin bukan Melayu dalam kerajaan telah hilang perjuangan mereka kerana menjaga kedudukan (masing-masing).
"Akibatnya, orang Melayu merasakan masa depan mereka tidak terjamin dengan kerajaan ini dan pada masa yang sama, bukan Melayu turut tidak berpuas hati," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai