Khutbah ingatkan ibu bapa awasi anak-anak tak terjebak basikal lajak
Khutbah Jumaat yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menyentuh tentang kecenderungan aktiviti menunggang basikal lajak dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Menurut teks khutbah itu, kecenderungan berkenaan jelas telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
“Tindakan anak-anak yang menjadikan jalan-jalan utama sebagai tempat menunggang basikal lajak menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
“Spesifikasi basikal lajak yang telah diubah suai bukan sahaja tidak mematuhi peraturan, bahkan membahayakan keselamatan mereka serta pengguna jalan raya yang lain," kata teks khutbah bertajuk ‘Keluarga Bahagia, Dambaan Semua’.
Justeru, ibu bapa diingatkan supaya memainkan peranan mereka sebagai pemegang amanah.
”Sebagai ibu bapa yang prihatin terhadap anak-anak, mimbar menasihatkan agar awasilah pergerakan anak-anak pada setiap waktu dan keadaan.
“Jadilah ibu bapa yang bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan dan keselamatan anak-anak sentiasa terjaga dan terpelihara,” kata teks itu.
Isu basikal lajak kembali hangat diperkatakan pada 28 Oktober lalu selepas Mahkamah Majistret Johor Bahru melepaskan dan membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Februari 2017.
Majistret Siti Hajar Ali membebaskan Sam Ka Ting, 24, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Pada 31 Oktober lalu, media turut melaporkan kegiatan menunggang basikal lajak yang sudah diubah suai serta penjualan basikal sedemikian wajar diharamkan bagi mengelak sebarang risiko kemalangan ke atas penunggangnya atau pengguna jalan raya lain.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Wong Yau Duenn, dipetik berkata pengharaman basikal lajak juga perlu secara menyeluruh kerana ia memudaratkan ketenteraman dan keselamatan awam.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai