Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Najib: Wee Jeck Seng tak pernah hentam Jawi

PRK TG PIAI | Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Najib Razak, malam tadi meminta pengundi supaya tidak terhasut dengan laporan Malaysiakini yang didakwanya "diputar belit" berhubung pendirian MCA dalam pembelajaran tulisan Jawi.

Kata Najib, Wee Jeck Seng tidak pernah menentang tulisan Jawi diajar di sekolah vernakular dan portal Malaysiakini didakwanya "pakar" memutar belit kenyataan calon pembangkang itu.

“Jangan kita dengar sangat laporan-laporan pakar spin Malaysiakini, dia spin apa dikatakan Wee Jeck Seng semalam kononnya menentang tulisan Jawi.

“Itu tidak benar, saya dah periksa, Wee Jeck Seng tak pernah hentam tulisan Jawi," katanya yang jelas membela ketua MCA Tanjung Piai itu.

Najib yang juga anggota parlimen Pekan menambah Wee hanya berkata tulisan Jawi sama seperti kaligrafi dan terserah kepada sekolah-sekolah Cina untuk mempelajari Jawi.

"Dia tak menentang tulisan Jawi," katanya semasa berceramah di Kampung Sawah, Pekan Nanas malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Semalam Malaysiakini melaporkan Jeck Seng merayu pengundi untuk menolak perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang didakwanya rasis.

Ka Siong juga bela

Membuat catatan di Facebook dalam bahasa Mandarin, Jeck Seng berkata langkah mengundi PH bermakna pengundi bersetuju dengan pembelajaran Jawi di sekolah vernakular dan menyokong Himpunan Maruah Melayu.

“Keputusan PRK ini tidak dapat mengubah kerajaan, tetapi ia adalah penting dalam menilai prestasi Mahathir.

“Adakah kita nak khat jawi. Adakah kita nak Himpunan Maruah Melayu? Adakah kita nak DAP terus berdiam diri?

“Sila pangkah undi anda untuk menolak Mahathir dan rasisme Bersatu,” katanya.

Jeck Seng yang bertanding di kawasan majoriti Melayu itu juga menulis secara khusus: "MCA bangkit untuk menolak Jawi dan mempertahankan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman. Adakah itu memainkan isu perkauman?" 

Bagaimanapun, semakan Malaysiakini malam tadi menunjukkan hantaran Jeck Seng di Facebook itu sudah disunting.

Hantaran asal itu bagaimanapun masih boleh dilihat melalui kemudahan semakan sejarah suntingan di Facebook.

Sebelum Najib, Jeck Seng sudah dibela presidennya, Dr Wee Ka Siong, yang mengadakan sidang media untuk menjelaskan pendirian parti itu semalam.

Kata Ka Siong, kenyataan Jeck Seng dipetik Malaysiakini di luar konteks.


Baca PAS sokong MCA kerana Melayu-Islam ‘terlalu majoriti’


Katanya, MCA sentiasa mahu menjaga keharmonian dan parti itu tidak pernah membantah pengajaran Jawi di sekolah vernakular. 

Untuk makluman, Wee adalah calon dipertaruhkan pembangkang untuk PRK Tanjung Piai.

Ketua MCA Tanjung Piai itu berdepan dengan lima calon lain, termasuk Karmaine Sardini yang mewakili PH.

Sementara itu, Najib yang juga merupakan bekas perdana menteri menyifatkan laporan Malaysiakini berkenaan adalah satu propaganda terdesak kerajaan.

“Jangan termakan dengan spin dibuat Malaysiakini sebab ini merupakan propaganda penipuan terdesak oleh pakatan tak boleh harapan ini,” katanya.

Untuk rekod, isu pembelajaran Jawi di sekolah vernakular menjadi kontrovesi dalam kalangan masyarakat Cina dan India pada Julai lalu.

Kemudian pada 8 Ogos, Menteri Pendidikan Maszlee Malik mengumumkan keputusan kabinet untuk menetapkan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil dilaksanakan secara pilihan.

Beliau berkata guru juga diberi kuasa menetapkan sendiri kaedah pelaksanaannya.