MCA bela Jeck Seng, dakwa laporan diambil luar konteks
PRK TG PIAI | Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong, hari ini mendakwa kenyataan calon mereka, Wee Jeck Seng, mengenai isu tulisan Jawi diambil di luar konteks.
Kata Ka Siong selama ini pendirian MCA ialah sentiasa mahu menjaga keharmonian dan parti itu tidak pernah membantah pengajaran Jawi di sekolah vernakular.
"Tulisan Jawi ini, MCA tak pernah kata bantah. (Sekarang) seolah-olah kalau kita sokong Jeck Seng, kita membantah Jawi.
"Ini satu percaturan atau taktik kotor politik dan mereka mengambil isu ini dari sudut yang berlainan. Diambil di luar konteks. Ini tak sepatutnya berlaku," katanya pada sidang media di Pontian hari ini.
Sambil memetik nama Malaysiakini, Ka Siong "merayu" agar berita itu dilaporkan mengikut konteks yang disebut Jeck Seng dalam hantarannya di Facebook petang tadi.
"Saya merayu dan memohon jasa baik Malaysiakini supaya kita melaporkan dalam konteks di mana apa yang saya cakap itu mewakili parti dan pendirian kita (berhubung pembelajaran Jawi) konsisten sejak hari pertama," katanya.
Jeck Seng bagaimanapun tidak hadir dalam sidang media berkenaan.
Tedahulu Malaysiakini melaporkan Jeck Seng merayu pengundi untuk menolak perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang didakwanya rasis.
Kamu rindu dia?
Membuat catatan di Facebook dalam bahasa Mandarin, Jeck Seng berkata langkah mengundi PH bermakna pengundi bersetuju dengan pembelajaran Jawi di sekolah vernakular dan menyokong Himpunan Maruah Melayu.
“Keputusan PRK ini tidak dapat mengubah kerajaan, tetapi ia adalah penting dalam menilai prestasi Mahathir.
“Adakah kita nak khat Jawi? Adakah kita nak Himpunan Maruah Melayu? Adakah kita nak DAP terus berdiam diri?
“Sila pangkah undi anda untuk menolak Mahathir dan rasisme Bersatu,” katanya.
Dalam hantaran itu Jeck Seng secara khusus menulis: "MCA bangkit untuk menolak Jawi dan mempertahankan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman. Adakah itu memainkan isu perkauman?"
Bagaimanapun semakan Malaysiakini menunjukkan hantaran Jeck Seng di Facebook itu sudah disunting.
Hantaran asal itu bagaimanapun masih boleh dilihat melalui kemudahan semakan sejarah suntingan di Facebook.
Untuk rekod Jeck Seng adalah calon dipertaruhkan pembangkang untuk PRK Tanjung Piai. Ketua MCA Tanjung Piai itu berdepan dengan lima calon lain, termasuk Karmaine Sardini yang mewakili PH.
Selain Umno, Jeck Seng juga mendapat sokongan padu daripada PAS.
Kata Ka Siong, pembelajaran Jawi di sekolah vernakular bersifat pilihan, sesuai dengan kehendak masyarakat terbabit.
Menurut anggota parlimen Ayer Hitam itu, MCA memang konsisten dengan pendiriannya dan bukan seperti pihak lain yang mengubah prinsip di depan masyarakat yang berbeza.
"Kita tidaklah seperti mereka lakukan... depan masyarakat Cina cakap lain, depan masyarakay Melayu cakap lain. Kita memang konsisten," katanya tanpa menyatakan siapa pihak yang dimaksudkannya itu.
Ditanya mengapa Jeck Seng tidak hadir pada sidang media itu, Ka Siong berkata, calon terbabit sedang sibuk bertemu pengundi.
"Kamu rindu dia dan nak tengok muka dia?" katanya.
Dijelaskan bahawa isu itu lebih baik jika dijelaskan sendiri oleh Jeck Seng, Ka Siong berkata, sebagai presiden MCA beliau berhak memberi penjelasan bagi pihak calon parti itu.
"Dan dia mengikut landasan parti. Apa salahnya?" kata beliau.
Sementara itu ditanya mengenai dakwaan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, bahawa semasa Jeck Seng menjadi Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, agensi itu membelanjakan RM343,180.50 untuk mengubah suai pejabatnya di Kuala Lumpur, Ka Siong enggan memberi komen lanjut.
Kata Ka Siong, kalau ada unsur salah guna kuasa atau rasuah, ia wajar diadukan kepada pihak yang berkenaan, bukannya mencemar nama Jeck Seng.
Katanya sangat tidak adil untuk calon MCA itu dikaitkan dengan isu berkenaan ketika kempen sedang berlangsung.
Ka Siong juga berpendapat, isu berkenaan wajar dibangkitkan pada 2017 iaitu semasa ia dipaparkan dalam laporan Ketua Audit Negara tahun berkenaan.
"Kalau sesuatu laporan dibuat pada 2017, kenapa ditanya pada 2019 bukan pada masa itu?
"Apakah apabila Jeck Seng jadi calon, segala sejarah lampau yang tidak pernah menjadi isu, tiba-tiba sekarang jadi isu?" katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai