Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bersedia apabila kesalahan liabiliti korporal dikuat kuasa

Sektor swasta diingatkan supaya bersedia untuk pelaksanaan Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai liabiliti korporat pada tahun depan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata peruntukan itu akan mula berkuat kuasa pada Jun 2020.

Justeru, katanya, sektor korporat perlu mengetahui dengan jelas peruntukan seksyen berkenaan yang diluluskan parlimen pada April 2018 dan diberikan tempoh dua tahun sebelum dikuatkuasakan.

"Diingatkan pada 2020, liabiliti korporat akan dikuatkuasakan melalui peruntukkan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 oleh kerajaan.

"Mana-mana organisasi, entiti atau syarikat yang termaktub di bawah organisasi komersial haruslah bersedia dari sekarang untuk memantapkan pelan antirasuah masing-masing," katanya pada sidang media selepas menghadiri konvokesyen kelapan Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di Kuala Lumpur hari ini.

Seramai 182 pegawai integriti ditauliahkan sebagai CeIO selepas mengikuti latihan selama beberapa minggu.

Menurut Latheefa peruntukan seksyen 17A itu agak jelas menyatakan bagaimana ia perlu dikuatkuasakan. Isunya, kata Latheefa, adalah aspek mengenai bagaimana ia perlu dikuatkuasakan.

Ada peningkatan ketara

"Orang ramai perlu tahu bahawa ada klausa dalam seksyen itu menyatakan sesebuah syarikat korporat atau entiti memiliki pembelaan jika mereka mempunyai mekanisme antirasuah.

"Maka menjadi cabaran kepada mereka untuk memastikan organisasi masing-masing mempunyai langkah-langkah tersebut," katanya.

Untuk rekod Seksyen 17A menyatakan peruntukan mengenai liabiliti korporat berkaitan rasuah oleh sesebuah syarikat, pengarah, rakan kongsi, pegawai atau pengurusnya.

Jika sabit kesalahan ia boleh dihukum denda tidak kurang daripada 10 kali jumlah suapan atau penjara tidak melebihi 20 tahun.

Bagaimanapun organisasi korporat boleh membela diri jika dapat menunjukkan bahawa mereka mempunyai "prosedur yang mencukupi" dalam operasinya.

Sementara itu dalam ucapannya Latheefa berkata, peruntukan itu adalah permulaan kepada kesedaran dan pematuhan semua organisasi komersial untuk menutup kelemahan yang membuka peluang kepada amalan rasuah.

Beliau juga memberitahu berlaku peningkatan mendadak permohonan daripada sektor swasta untuk melatih kakitangan mereka menjadi pegawai integriti di Akademi SPRM.

[Baca berita penuh]