Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dr M: Jangan tembak kaki sendiri kerana undi marah

Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad mengingatkan pengundi di Tanjung Piai agar tidak 'menembak kaki sendiri' dengan mengundi atas rasa marah.

"Kalau kerana marah ataupun sebab lain maka kita tolak calon yang boleh berkhidmat kepada kita, kitalah yang akan rugi.

"Dalam bahasa Inggeris, dia kata jangan tembak kaki sendiri.

"Kalau kita tembak kaki sendiri kita tahu lah apa jadi," katanya dalam ceramah di Kukup, Tanjung Piai, semalam.

PH dilihat berdepan cabaran untuk mempertahankan kerusi Tanjung Piai. Pengundi yang bercakap kepada Malaysiakini terutamanya dari kalangan masyarakat Cina menyatakan bahawa mereka sedang mempertimbangkan undi protes bagi menghukum kerajaan antara lain kerana disifatkan tidak memenuhi janji pilihan raya.

Selain itu, ada kemungkinan besar ramai pengundi luar negeri tidak akan kembali untuk mengundi pada hari pengundian, Sabtu ini.

Dr Mahathir berkata jika pembangkang menang, ia hanya memberi manfaat kepada wakil rakyat dan bukannya pengundi.

"Bukan dia (wakil rakyat pembangkang) yang rugi, dia jadi YB dia dapat duit, kita undi dia dapat apa?

"Pembangunan jauh sekali. Jadi tuan-tuan dan puan-puan kita jangan silap pangkah dan mengundi orang yang tidak boleh berkhidmat untuk kita," katanya.

Kira-kira 2,500 hadir ceramah PH, yang merupakan kehadiran paling ramai bagi PH dalam kempennya. Lebih separuh daripada mereka hadir memakai baju PH.

Dr Mahathir mendakwa bahawa jumlah pengundi seramai 8,000 orang.

Ketika pengerusi Bersatu itu mula berucap, kira-kira sepertiga daripada orang hadirin dilihat mula beredar, dengan beberapa yang bercakap dengan Malaysiakini menyatakan bahawa mereka berdedar awal kerana mahu mengelakkan kesesakan lalu lintas selepas ceramah berakhir.

Jalan menuju ke tempat ceramah merupakan lorong sehala.

Selain Dr Mahathir, penceramah lain termasuk Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution.

Dalam ucapannya sebelum ini, Lim berkata pengundi hanya akan menghukum diri sendiri jika mereka memprotes PH kerana kecewa.

"Jika kita gagal memenuhi janji kita dalam tempoh tiga tahun setengah lagi, masa itu belum terlambat lagi untuk menghukum kita.

"Tetapi kenapa mahu lepaskan geram atas fitnah terhadap PH? Tiga tahun setengah, semestinya anda tidak akan menafikan peluang ini untuk diri anda sendiri?

"Anda tidak akan menghukum PH, tetapi diri sendiri," kata Lim.

Sementara itu, calon PH, Karmaine Sardini, mengingatkan bahawa pengundi perlu mempertimbangkan tentang peruntukan, dengan mengambil contoh parlimen Pontian.

"Tidak ada peruntukan di Pontian. Rakan-rakan di sana mengadu bahawa tidak ada projek.

"Ini adalah apa yang berlaku kerana mereka tidak memilih saya Sekarang ini adalah kerugian mereka jika mereka memilih saya, mungkin Pontian juga akan mendapat RM14 juta," kata Karmaine - merujuk kepada peruntukan yang diperolehi untuk Tanjung Piai oleh MP lewat untuk kerusi itu, Dr Md Farid Md Rafik.

"Cuba bayangkan tuan-tuan, jiran kita parlimen Pontian tak ada peruntukan sekarang. Kawan-kawan di Pontian mengeluh tak ada projek pun di Pontian sekarang.

"Itu lah, dulu tak nak pilih saya kat sana, kan rugi. Kalau pilih saya awal-awal, mungkin kat Pontian pun dapat RM14 juta juga," katanya merujuk peruntukan yang diperoleh bekas penyandang parlimen Tanjung Piai, ALlahyarham Dr Md Farid Md Rafik.

Karmaine kalah kepada Ahmad Maslan BN di Pontian dengan 833 undi pada pilihan raya umum ke-14 tahun lalu.