Wee dakwa soalan Malaysiakini perangkap calon BN
PRK TG PIAI | Presiden MCA Wee Ka Siong mendakwa Malaysiakini "memerangkap" calon parti itu dalam PRK Tanjung Piai, Wee Jeck Seng.
Ia selepas wartawan Malaysiakini bertanya Jeck Seng sama ada MCA sebahagian anggota Muafakat Nasional yang dimeterai PAS dan Umno.
"Tadi Malaysiakini tanya soalan di Tanjung Piai dan ia sudah memerangkap calon," katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen hari ini.
"Sudah bertahun saya pakai istilah Muafakat Johor. Bukankah ia slogan atau semangat yang kita dukung sama-sama?
"Jadi bila soalan dirangka, adakah kita sokong Muafakat Nasional, saya nak tanya apakah dulu kita tak sokong Muafakat Johor?" soalnya lagi.
Beliau berkata Muafakat Nasional adalah menyokong atas dasar mana-mana parti yang menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan elemen kepelbagaian yang merupakan tunjang BN.
"Jadi atas nama solidariti pembangkang, Muafakat Nasional serupa dengan Muafakat Johor...Janganlah anggap ia sebagai pendaftaran satu pakatan yang dinamakan sekian-sekian (Muafakat Nasional)," katanya.
Soalan Malaysiakini berkisar tentang sama ada MCA adalah "anggota kepada Muafakat Nasional", iaitu merujuk kepada istilah yang digunakan dalam kerjasama PAS dan Umno.
Ketika berucap dalam program Muafakat Pemuda Nasional di Pekan Nenas, Tanjung Piai semalam, Ketua Pemuda MCA Nicole Wong berkata konsep Muafakat Nasional adalah berkenaan pembangkang yang bekerjasama ke arah keadaan yang lebih baik.
MCA tidak pernah secara jelas menyatakan parti itu sebahagian daripada kerjasama PAS-Umno.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan sebelum ini berkata piagam Muafakat Nasional dengan jelas menyatakan ia kerjasama antara BN - merangkumi Umno, MCA dan MIC - dengan Gagasan Sejahtera - dianggotai PAS, Berjasa dan Ikatan.
Hari ini Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata MCA "belum lagi" menjadi anggota Muafakat Nasional.
Sementara ini, Wee turut mempersoal sama ada Malaysiakini menyokong perpaduan atau tidak.
"Soalan ini janggal. Anda jawab macam mana pun akan terperangkap. 'Saya tak sokong', maksudnya anda tak sokong perpaduan parti atau memang tank mahu bersatu padu?" soalnya.
Apabila diberitahu Malaysiakini bertanya soalan yang khusus iaitu sama ada MCA sebahagian daripada Muafakat Nasional yang dimeterai PAS dan Umno, beliau berkata: "Apakah ahli Muafakat Nasional?"
"Adakah anda ahli Muafakat Johor? Tidak, anda tanya soalan, tolonglah (tanya soalan) logik.
"Kita mendukung solidariti pembangkang, adakah pendaftaran atas nama solidariti pembangkang? Ia adalah semangat," katanya lagi.
Jeck Seng mengelak ketika ditanya soalan itu dalam satu sidang media.
Ketika diminta menjawabnya, beliau berkata: “Bukan..kita saya sudah katakan kita sudah memang selama ini amalkan (permuafakatan) yang penting harmoni bukan timbulkan isu.
“(Yang) penting adalah keharmonian, kita makan sama-sama, minum sama-sama cuma tidur saja tak samalah,” katanya sambil ketawa.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai