Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dakwaan undi Wee bermakna sokong Najib merepek - Presiden MCA

PRK TG PIAI | Presiden MCA, Wee Ka Siong, menolak dakwaan kemenangan calon partinya pada pilihan raya Tanjung Piai akan memastikan bekas perdana menteri Najib Razak kembali berkuasa.

Beliau berkata demikian ketika menuduh kerajaan Pakatan Harapan memainkan isu perbicaraan rasuah Najib semasa berkempen di Johor untuk PRK pada Sabtu ini.

"Sudah tentu kerajaan akan memutar semua isu ini. Saya terkejut apabila mereka berkata selepas penghakiman oleh mahkamah bahawa jika anda mengundi (calon BN) Wee Jeck Seng dan jika beliau menang, Najib akan kembali lagi.

"Saya tidak tahu apa jenis logik ini.

"Kamu meremehkan sistem undang-undang, seolah-olah satu pilihan raya boleh menentukan nasib tertuduh (Najib) ... ini benar-benar merepek," kata Wee kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Beliau menegaskan Najib yang juga MP Pekan, bukan calon BN dalam PRK ini dan beliau bukan lagi pengerusi BN, tetapi sebaliknya merupakan bekas pemimpin yang cuma datang untuk membantu kempen pilihan raya.

"(PH seolah-olah mendakwa) jika kamu menyokong Jeck Seng, (maka) kamu menyokong Najib," kata Wee.

Kenyataannya dibuat berikutan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan bekas perdana menteri itu perlu membela dirinya terhadap semua tujuh pertuduhan berkaitan SRC International Sdn Bhd.

Wee ketika ditanya sekiranya penghakiman tersebut akan menjejaskan undi Cina di Tanjung Piai, menjawab proses mahkamah perlu dibenarkan berjalan.

Pada masa yang sama, presiden MCA juga menafikan apa yang didakwanya bahawa agenda perubahan PH akan musnah jika calon Bersatu Karmaine Sardini tidak terpilih.

"Saya tidak faham perkara ini. Pilihan raya kecil hanya lah pilihan raya kecil. Ia tidak akan mengubah kerajaan ... PH akan tetap menjadi kerajaan," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau menjelaskan BN sekarang hanya mempunyai 40 kerusi di parlimen. Justeru, kemenangan di Johor tidak akan menjejaskan kemampuan pemerintah untuk melaksanakan pembaharuan.

"Tolonglah berfikir dengan logik," katanya.

Hari ini, pengundian awal berlangsung untuk PRK Tanjung Piai, manakala SPR menetapkan hari mengundi pada 16 November depan.

Pilihan raya kecil ini diadakan susulan wakil rakyatnya bekas timbalan menteri di JPM, Dr Md Farid Md Rafik, 42, meninggal dunia pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Ia melibatkan pertandingan enam penjuru melibatkan calon PH Karmaine Sardini, calon Barisan Nasional Dr Wee Jeck Seng; calon Gerakan Wendy Subramaniam; Presiden Berjasa Dr Badrulhisham Abdul Aziz serta dua calon bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.