Timb menteri 'beli' pantun Azeez dengan kritikan
PARLIMEN | Seni pantun sering kali digunakn anggota parlimen di Dewan Rakyat, sama ada ketika perbahasan atau membuat celahan. Kali ini giliran Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang cuba 'menjualnya' kepada Sim Tze Tzin.
Ia ketika Abdul Azeez ingin meminta Sim, yang juga timbalan menteri pertanian dan asas tani, untuk menjawab soalannya.
"Tengkujuh tiba semua terjejas,
Penoreh getah hidup sengsara,
Disuruh pula tanam nanas,
Soalan saya nombor dua.”
Bagaimanapun Sim tidak 'membeli' pantun itu dan secara berseloroh berkata pantun itu "tidak berapa kena".
"Terima kasih YB Baling. Tapi pantun tak berapa 'match' lah. Tetapi tak apa, tengkujuh datang atau tidak, kementerian pertanian sedia membantu," katanya sebaik bangun untuk menjawab soalan lisan tersebut, berkenaan sama ada penanaman nanas mampu membantu meringankan beban kos sara hidup pekebun sawit dan getah, seperti yang dicadangkan Kementerian Industri Utama sebelum ini.
Sim berkata, nanas mendapat permintaan tinggi dari dalam dan luar negara dan kini meliputi 27.7 peratus daripada pengeluaran sektor buah-buahan di Malaysia, bersamaan 382,811 tan metrik dengan nilai RM502 juta.
Katanya lagi, pengeluaran nanas dijangka bertumbuh pada kadar 22.1 peratus setahun dengan unjuran pengeluaran sebanyak 700,000 tan metrik pada tahun 2020, selepas mengambil kira jumlah eksport yang meningkat sebanyak 39.18 peratus pada 2018 berbanding 2017.
Malah, katanya lagi, Projek Integrasi Tanaman Nanas yang dimulakan sejak 2016 telah memanfaatkan 679 peserta yang mendapat tambahan pendapatan sebanyak RM2,500 hingga RM3,500 sebulan, bergantung kepada keluasan ladang dan jenis nanas yang ditanam.
Azeez kemudian mengucapkan tahniah kepada Sim atas jawapan yang menurutnya "memuaskan", namun mencadangkan agar nanas bukan sekadar menjadi tanaman alternatif, tetapi tanaman utama seperti getah dan kelapa sawit.
"Akhir sekali YB, tadi timbalan menteri kata pantun saya tak bagus, ini pantun terakhir," katanya sebelum duduk:
“Bila kepala sudah celaru,
Orang hidup dipanggil arwah,
Terima kasih kerajaan baru,
Buat rakyat gelisah dan marah."
Azeez dipercayai merujuk kenyataan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru-baru ini yang tersilap memanggil calon PH PRK Tanjung Piai Karmaine Sardini sebagai 'Arwah Haji Karmaine'.
Sim sekali lagi berseloroh mengutarakan kritikannya terhadap pantun Azeez: "Pantun patutnya membawa kebaikan, menceriakan Dewan. Tetapi pantun YB berbaur politik...Kita bawa seni yang lebih baik dan bersopan".
Sim kemudian berkata beliau setuju dengan pandangan Azeez berkenaan industri nanas dan menyuarakan harapannya agar pekebun dapat mengubah anggapan bahawa tanaman itu hanya ketika musim penebangan kelapa sawit.
Katanya, kementeriannya mencadangkan agar pekebun dapat memperuntukkan kira-kira 20 peratus daripada ladang mereka untuk tanaman kontan, termasuk nanas.
Ia dapat menampung pendapatan daripada tanaman kelapa sawit dan getah apabila tiba musim tengkujuh dan ketika harga komoditi itu merosot.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai