Rumah bot Tasik Kenyir laku susulan musim Tengkujuh
Tasik Kenyir di Hulu Terengganu mula menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara terutama kaki pancing ekoran penutupan kebanyakan pusat peranginan di Terengganu bagi menghadapi musim tengkujuh.
Pengusaha rumah bot di tasik ini mula tersenyum lebar apabila ramai pelancong menempah rumah bot mereka untuk tempoh dua bulan iaitu November dan Disember.
Seorang pengusaha rumah bot, Ramli Mustafa, 54, memberitahu Bernama bahawa Tasik Kenyir yang terkenal sebagai lubuk ikan air tawar akan menjadi tumpuan dalam kalangan kaki pancing kerana kebiasaannya pelbagai spesis ikan akan bertambah dengan banyak pada musim tengkujuh.
Katanya kebanyakan tempahan yang diterima adalah daripada kaki pancing yang datang secara berkumpulan untuk melepaskan 'gian' memburu ikan air tawar seperti Sebarau, Kelah, Temoleh, Baung, Lampan dan Belida.
"Menariknya setiap kali pada musim tengkujuh, Tasik Kenyir bagaikan pesta kerana ramai kaki pancing yang turun berkampung di sini untuk menghabiskan cuti akhir tahun mereka.
"Sebagai pengusaha bot, kami akan cuba membantu kaki pancing untuk memburu ikan di lubuk-lubuk tertentu yang lazimnya kemahiran ini dimiliki orang-orang lama di Tasik Kenyir," katanya yang telah 35 tahun menjalankan perniagaan itu.
Ketika ini, Terengganu mengalami Monsun Timur Laut yang bermula sejak 24 Okt lepas dan dijangka berterusan sehingga Mac 2020 yang menyebabkan beberapa episod hujan lebat melanda negeri itu sepanjang tempoh tersebut.
Seorang lagi pengusaha rumah bot, Kamaruddin Razali, 47, berkata tempahan sewa rumah bot 'Pesona' miliknya untuk cuti hujung minggu sudah penuh sehingga akhir tahun ini.
"Memang setiap kali musim tengkujuh, akan berlaku peningkatan tempahan kerana ramai kaki pancing akan datang ke sini...tak kurang juga syarikat yang meraikan kakitangan mereka atau keluarga yang mahu menghabiskan cuti bersama dengan menikmati pengalaman di Tasik Kenyir.
"Istimewanya Tasik Kenyir ialah pelancong akan benar-benar menikmati makna sebenar percutian kerana di sini, privasi mereka cukup terjaga dan menjanjikan pengalaman yang cukup manis untuk dikenang," katanya.
Selain pakej pelancongan yang ditawarkan pengusaha rumah bot, kerajaan negeri juga tidak ketinggalan mempromosikan tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara itu dengan penganjuran ‘Asean Monsoon Casting Tournament’ yang akan berlangsung pada 29 Nov hingga 2 Dis depan.
Ia adalah acara tahunan yang dianjurkan kerajaan negeri setiap kali musim tengkujuh yang dijangka dapat menarik lebih 300 penyertaan termasuk peserta dari luar negara seperti Indonesia, Thailand, Korea, Singapura dan Brunei.
Dalam pada itu, seorang lagi pemilik rumah bot 'Kembara', Hamzah Kassim pula berkata pelancong tidak perlu bimbang mengenai tahap keselamatan mereka ketika berkunjung ke Tasik Kenyir pada musim tengkujuh.
"Di sini tiada ombak seperti perjalanan ke pulau peranginan yang lain, malah pengusaha bot juga sudah berpengalaman luas beroperasi ketika musim tengkujuh dan sedia maklum mengenai langkah keselamatan yang perlu diambil mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan pihak berkuasa.
"Kami sentiasa memastikan aspek keselamatan pelancong diutamakan dan peka dengan perubahan cuaca semasa bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai