Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

CAAM akui 'kelemahan' lepas diturunkan taraf keselamatan udara

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) hari ini mengakui terdapat "beberapa kelemahan" selepas pemeriksaan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) menyebabkan penurunan taraf keselamatan udara daripada Pengawal Selia Kategori Satu kepada kategori dua.

"CAAM mengakui bahawa dalam menjalankan tugasnya sebagai pengawal selia penerbangan, terdapat beberapa kelemahan," kata pengerusi CAAM Ahmad Ridzwan Mohd Salleh dalam satu kenyataan malam ini.

Walau bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan kelemahan yang mendorong penurunan taraf keselamatan udara itu.

Ahmad Ridzwan menegaskan bahawa penurunan penilaian keselamatan itu khusus ditujukan kepada pihak berkuasa penerbangan dan bukan syarikat penerbangan tertentu.

Walau bagaimanapun, beliau berkata syarikat penerbangan di Malaysia akan terjejas akibat penurunan taraf keselamatan itu.

"Pengkategorian ini bukan suatu penilaian terhadap syarikat penerbangan, lapangan terbang atau perkhidmatan trafik udara yang berada di bawah bidang kuasa CAAM.

"Bagaimanapun, kerana disenaraikan sebagai Penawal Selia Kategori Dua, syarikat penerbangan yang dilesenkan oleh CAAM tidak akan dapat menambah laluan baru ke dan dari Amerika Syarikat," katanya.

Ahmad Ridzwan berkata CAAM akan berusaha untuk memulihkan statusnya kepada Kategori Satu.

"CAAM telah meminta FAA melakukan penilaian semula dalam tempoh 12 bulan akan datang dengan niat untuk memulihkan status Kategori 1," katanya.

Ahmad Ridzwan berkata CAAM mengambil serius penemuan FAA dan akan membincangkannya.

"Memandangkan sifat kritikal penerbangan, CAAM mengambil penilaian FAA secara membina dan telah bertindak untuk membuat perubahan serius dalam struktur dan operasinya.

"Ketua pegawai eksekutif CAAM telah mengemukakan peletakan jawatannya pada 1 November lalu dan sementara itu, jawatankuasa eksekutif lembaga telah ditubuhkan untuk mengawasi operasi CAAM.

"Kementerian Pengangkutan telah dimaklumkan tentang perkembangan dalaman ini," katanya.

Beliau berkata CAAM terus menyumbang kepada pembangunan dan pengawasan industri penerbangan menerusi kedudukannya dalam Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

"Ia juga tetap sepenuhnya mematuhi semua piawaian dan undang-undang ICAO, yang telah diaudit oleh ICAO baru-baru ini pada pertengahan tahun 2019," katanya.

[Baca berita asal]