NUJ tak tahu Utusan M'sia akan kembali pada 2020
Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan Melayu (M) Bhd tidak tahu menahu mengenai laporan bahawa akhbar Utusan Malaysia akan membuat kemunculan semula tahun depan.
Pengerusinya Mohd Taufek Razak berkata berdasarkan maklumat terkini yang diperolehinya, pihak pengurusan sedang berusaha untuk mencairkan aset milik syarikat itu, dan bekas para pekerjanya masih menunggu wang pampasan seperti yang dijanjikan.
"Tidak terima langsung maklumat mengenai Utusan akan kembali pada tahun depan. Kami masih menanti dalam kesamaran," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur hari ini.
Beberapa media tempatan hari ini melaporkan Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof memaklumkan, akhbar Utusan Malaysia akan membuat kemunculan semula tahun depan.
Menurut laporan itu Redzuan memberitahu perkara berkenaan di sebuah program di Tenggayun, Johor semalam semasa berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) di Tanjung Piai.
Akhbar bahasa Melayu tertua negara itu dan satu lagi akhbar terbitan syarikat berkenaan iaitu Kosmo! menghentikan operasinya sejak 9 Okt lalu, berikutan masalah kewangan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai