Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Enakmen baru kekang penyebaran agama pada Muslim

DUN P PINANG | Majlis Agama Islam Pulau Pinang Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mencadangkan agar undang-undang baru digubal bagi mengetatkan kawalan serta menghalang penyebaran agama lain kepada Muslim.

Timbalan Ketua Menteri I, Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman (PKR-Pinang Tunggal) berkata hal itu dicadangkan sebuah jawatankuasa teknikal MAINPP pada 14 Okt lalu.

"Cadangan itu dirangka untuk mengawal dan mengjalang penyebaran agama lain kepada orang Islam di Pulau Pinang," katanya semasa menggulung perbahasan Belanjawan Pulau Pinang 2020 di DUN hari ini.

Menurut Ahmad Zakiyuddin, ahli MAINPP bersetuju dengan cadangan dikemukakan Jabatan Penggubalan Undang-undang Syariah Pulau Pinang dan jabatan penasihat undang-undang negeri itu akan menyediakan draf enakmen tersebut sebelum diluluskan exco.

Ahmad Zakiyuddin berkata demikian sebagai menjawab persoalan dibangkitkan ketua pembangkang Muhamad Yusoff Mohd Nor (BN-Sungai Dua).

Muhammad Yusoff sebelum ini menimbulkan isu kegiatan dakyah agama lain serta pengedaran Bible dalam kalangan masyarakat Muslim di Pulau Pinang dan Kedah.

Untuk rekod, Ahmad Zakiyuddin juga menjadi pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Pulau Pinang.

Katanya kerajaan negeri akan memberi perhatian sewajarnya terhadap kegiatan penyebaran agama lain dalam kalangan Muslim di Pulau Pinang.

Sementara itu Norlela Ariffin (PKR-Penanti) semasa mencelah ucapan Muhammad Yusoff mencadangkan agar sesi dialog antara agama dijalankan bagi memastikan kebimbangan itu dapat dikawal, selain mengekalkan keharmonian masyarakat.

Menurut Ahmad Zakiyuddin, Jabatan Agama Islam Pulau Pinang dan polis akan sentiasa memantau kegiatan tersebut dan siasatan dibuat ekoran ada aduan dikemukakan masyarakat Islam di negeri itu.

Sementara itu beliau juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat yang memberikan komitmen untuk mengukuhkan Islam di Pulau Pinang (Jaipp) melalui peruntukan sebanyak RM60.05 juta dalam belanjawan.

Daripada jumlah itu, katanya, RM11.09 juga akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan Jaipp.

"Ini termasuk membiayai dua masjid di Kampung Bongol dan Sungai Nibong Besar yang sedang dalam pembinaan," katanya.

[Baca berita penuh]