Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ladang ternakan ayam punca masalah lalat

Ladang ternakan ayam yang diusahakan secara kecil-kecilan di daerah Manjung merupakan antara punca masalah lalat yang membelenggu kehidupan penduduk di sekitar Segari tidak dapat ditangani secara menyeluruh.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari, berkata berdasarkan kajian yang dilakukan Jabatan Veterinar Perak, terdapat kira-kira 700 reban ayam yang beroperasi secara kecil-kecilan di daerah tersebut.

"Bagaimanapun, pihak veterinar tidak dapat mengambil tindakan kepada pengusaha kerana ada antara mereka yang tidak mempunyai lesen dan hanya menternak ayam kurang daripada 5,000 ekor.

"Masalah lalat ini bukan saja berlaku di Segari tetapi di tempat lain seperti di daerah Kerian dan di Taiping kerana di situ ada pengusaha melaksanakan ladang ternakan ayam secara kaedah tradisional dan tidak mempunyai sistem sistematik, malah ada yang membuang bangkai ayam di ladang kelapa sawit saja," katanya pada sidang media di Ipoh.

Abdul Aziz berkata terdapat 143 ladang ayam yang beroperasi secara sah di daerah itu yang membekalkan kira-kira 75 juta ekor ayam setahun dan ia menampung keperluan bekalan negara sehingga 15 peratus.

Abdul Aziz berkata Jabatan Veterinar Perak dan pihak berkuasa tempatan mengambil langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah lalat termasuk mengeluarkan 64 kompaun atas pelbagai kesalahan kepada pengusaha ladang ternakan di daerah itu di bawah Enakmen Perladangan Unggas 2005.

"Kita akan mengadakan pertemuan dengan wakil penduduk, pertubuhan bukan kerajaan serta ahli majlis untuk menangani masalah lalat yang berlaku sejak 20 tahun lalu kerana kita perlu lihat masalah ini secara holistik, semua pihak perlu terlibat bagi menangani masalah lalat," katanya.

Kira-kira 500 penduduk kampung di Segari mengadu sudah tidak tahan hidup bersama lalat sejak 20 tahun lepas dan mendesak kerajaan negeri menyelesaikan masalah itu.

Bukan saja mengganggu kegiatan harian, kehadiran lalat yang banyak juga didakwa menjejaskan punca rezeki mereka.

Penduduk dari Kampung Batu 10, Mazeli Md Desa, 44, berkata kediamannya terletak kira-kira 100 meter dari ladang ternakan ayam itu, dan dia sekeluarga sudah tidak mampu bertahan dengan gangguan masalah lalat.

"Lalat mengganggu kami siang dan malam sehingga semasa nak makan pun kami terpaksa pakai kelambu untuk mengelak makanan dan minuman dihinggap lalat, pintu rumah memang tak boleh nak buka sebab mahu elak lalat masuk ke dalam rumah," katanya.

- Bernama