Seterika wap diguna pada Zulfarhan: Jarak sejengkal pun terasa panas
Perbicaraan kes bunuh Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain di Mahkamah Tinggi hari ini ditunjukkan dengan demonstrasi seterika wap yang digunakan tertuduh kedua pada mangsa.
Bahan bukti kes itu dibawa masuk ke mahkamah selepas Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim memohon untuk melakukan demonstrasi dan menerangkan tahap kepanasan seterika wap itu yang mempunyai suhu rendah, pertengahan dan paling tinggi.
Pada prosiding itu, Julia melakukan demonstrasi dengan meletakkan seterika berkenaan pada tahap paling tinggi dan wap tersebut dihalakan kepada tapak tangan serta lengan seorang anggota polis mahkamah dan apabila ditanya Julia adakah terasa panas, anggota itu menjawab "ya, panas".
Hakim Datuk Azman Abdullah juga mencuba seterika tersebut dan menghalakan wap di tapak tangannya pada jarak sejengkal.
Terdahulu, semasa pemeriksaan balas oleh Julia, tertuduh kedua Muhammad Azamuddin Mad Sofi, 23, bersetuju bahawa semasa kejadian pada 22 Mei 2017 (di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM), Zulfarhan tidak memakai baju hanya memakai ‘boxer’ (seluar dalam lelaki yang longgar).
Julia: Saya cadangkan semasa kejadian, Zulfarhan tidak memakai baju hanya memakai boxer, walaupun seterika wap tidak menyentuh Zulfarhan tetapi wap itu terkena pada Zulfarhan dan akan merasa sakit serta panas.
Muhammad Azamuddin: Setuju Yang Arif.
Bagaimanapun dia tidak bersetuju dengan cadangan Julia bahawa dia telah menggunakan seterika wap secara terus pada tubuh badan Zulfarhan bukan hanya melalukan sahaja.
Muhammad Azamuddin juga tidak bersetuju dengan cadangan Julia bahawa dia bukan hanya mengenakan seterika wap pada bahu dan peha Zulfarhan, malah melakukan perbuatan itu sekurang-kurangnya 18 kali.
Dia juga menolak cadangan Julia bahawa dia ada menekap kemaluan mangsa dengan menggunakan seterika wap kerana terdapat kesan melecur pada bahagian itu.
Muhammad Azamuddin turut tidak bersetuju dengan cadangan Julia bahawa semasa kejadian dia dan tertuduh pertama, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, 23, mengikat tangan dan kaki Zulfarhan menggunakan tali taekwando.
Berhubung dengan cadangan Julia bahawa dalam konteks ketenteraan tertuduh gagal mempraktikkan prinsip 'no man left behind' kerana telah membenarkan rakan sepasukan dipukul dan diseterika, Muhammad Azamuddin menjawab “tidak setuju”.
Julia: Saya cadangkan, walaupun awak kata hubungan awak dengan Zulfarhan ibarat "seutas tasbih yang mana ada awalnya dan tiada berpenghujung", setuju tak sekiranya saya katakan apabila tasbih itu putus sudah tiada penghujung?
Muhammad Azamuddin: Setuju.
Kepada cadangan Julia bahawa hubungan tertuduh dengan Zulfarhan sudah putus apabila dia membiarkan rakannya itu dipukul selain mengenakan seterika wap dan gagal menghentikan perbuatan itu, Muhammad Azamuddin berkata: "tidak setuju".
Sementara itu, semasa pemeriksaan semula oleh peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakilinya, tertuduh berkata secara peribadi dia langsung tidak mengetahui perbuatannya itu boleh menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan kerana tiada kesan pada bahu dan peha mangsa selepas melalukan seterika wap pada dua bahagian tersebut.
Pada 31 Julai lepas, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan 18 pelajar UPNM membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan.
Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri menghadapi pertuduhan membunuh, manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa atas pertuduhan bersubahat membunuh Zulfarhan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala Abdoul Hakeem dituduh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Mereka bersama 12 lagi tertuduh iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.
Kesemua tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya, untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat, universiti tersebut, Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei 2017.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azman bersambung esok.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai