Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Mahkamah putuskan Tian Chua bebas, layak tanding pilihan raya

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa Naib Presiden PKR, Tian Chua bebas dan layak untuk bertanding pada pilihan raya akan datang dan pelucutan kelayakannya sebagai calon pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu adalah tidak sah.

"Memandangkan mahkamah telah mengesahkan bahawa saya ada hak perlembagaan dan saya tidak boleh dinafikan sebagai warganegara di negara ini untuk bertanding dalam pilihan raya, dan juga untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat.

"Tapi yang paling penting, kita ingin menyampaikan mesej bahawa untuk masa depan, kita berharap institusi awam seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus mendukung semangat perlembagaan dan tidak menjadi alat kuasa politik untuk menafikan hak seseorang individu,” katanya kepada wartawan selepas penghakiman dibuat di kamar Hakim Mariana Yahya.

Pada pilihan raya umum tahun lalu, SPR melucutkan hak Tian Chua sebagai calon untuk kerusi parlimen Batu pada hari penamaan calon.

Pada, 26 April lalu, Tian Chua memfailkan saman pemula bagi memohon deklarasi bahawa beliau adalah seorang yang layak untuk bertanding dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil.

Dia juga memohon deklarasi bahawa tidak adil untuk menafikan kelayakan dan haknya untuk bertanding dalam pilihan raya.

Berdasarkan afidavit sokongan, Tian Chua berkata dirinya layak bertanding mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, keputusan kesnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam yang menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap dua tuduhan, menjelaskan bahawa kelayakan dan haknya untuk bertanding tidak terjejas oleh hukuman tersebut.

Tian Chua berkata bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia juga membuat pengumuman bahawa kedudukannya sebagai ahli Parlimen terus kekal dan tidak mendapat sebarang bantahan berhubung perkara itu.

Tian Chua mendakwa pernah menjadi calon, bertanding dan menang serta menjadi ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 tanpa sebarang bantahan.

Berdasarkan afidavit sokongan, Tian Chua mendakwa pegawai pilihan raya gagal mengambil kira semua fakta dan menyebabkan pencalonannya ditolak ketika Pilihan Raya Umum ke-14.

Sebelum ini, dua Mahkamah Tinggi itu, menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadapnya, masing masing atas kesalahan menghina pegawai polis dan menganggu penjawat awam.