Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Nik Omar gagal dapat tempat di Pengkalan Chepa

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Nik Omar Nik Abdul Aziz gagal mendapat tempat dalam kepemimpinan Amanah Pengkalan Chepa.

Asalnya Nik Omar bertanding dalam pemilihan Amanah kawasan tersebut pada 24 Julai - dan tidak mendapat undi mencukupi - namun beliau sepatutnya mendapat peluang sekali lagi dalam pemilihan kedua.

Sumber memberitahu dalam mesyuarat agung tahunan kali kedua Amanah Pengkalan Chepa yang diadakan diadakan di sebuah warung di Sabak, Kota Bharu itu, majoriti perwakilan memilih untuk mengesahkan saja senarai ahli jawatankuasa yang menang pada pemilihan awal.

Dalam mesyuarat kali kedua pada 27 Okt lalu itu, kata sumber, pihak yang mencadangkan agar pemilihan diadakan sekali lagi gagal mendapat sokongan mencukupi.

Justeru, katanya, Nik Omar dan calon lain yang mahu bertanding sekali lagi gagal mendapat peluang kedua.

Mengikut peraturan, sesebuah kawasan memang dibenarkan untuk mengadakan semula pemilihan atau sekadar mengesahkan keputusan pemilihan yang dibatalkan sebelum ini.

"Jadi pemilihan semula dijalankan pada 27 Oktober lalu, nama Nik Omar antara pimpiman yang sekali lagi dicalonkan.

"Namun, pada pemilihan kedua itu undi belah-bahagi dilaksanakan dan majoriti perwakilan memutuskan untuk mengekalkan barisan kepimpinan yang dipilih pada pemilihan pertama.

"Tiada pengundian semula dilakukan," kata sumber yang enggan didedahkan namanya kepada Malaysiakini, hari ini.


Baca 'Wakil rakyat kalah bukti demokrasi subur dalam Amanah'


Untuk rekod, Nik Omar ialah bekas calon PH bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Chempaka pada PRU14 lalu. Bagaimanapun anak lelaki sulung Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat kalah dan kini dilantik mengetui Yadim.

Pemilihan kedua itu juga menyaksikan Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan, tidak mendapat tempat untuk berada dalam saf kepimpinan Pengkalan Chepa.

Keputusan itu menyaksikan kepemimpinan Amanah Pengkalan Chepa kekal diterajui penyandangnya, Mohamad Ibrahim, manakala Wan Kamaruddin Zakaria dipilih sebagai timbalan dan Mohd Fadzil Ghani dilantik sebagai naib ketua.

Sementara itu difahamkan pemilihan semula itu dibantah oleh sesetengah perwakilan yang tidak bersetuju dengan kaedah pelaksanaan yang didakwa melanggar perlembagaan parti.

Menurut sumber, bantahan tersebut sudah dikemukakan kepada Amanah Nasional agar tindakan dan pemilihan yang lebih adil dijalankan semula.

Bagaimanapun sumber tersebut enggan mendedahkan alasan terperinci mengenainya.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Amanah Kelantan, Mohd Alawi Abdul Rashid, ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan berlakunya bantahan bagi pemilihan Amanah kawasan Pengkalan Chepa itu.

"Memang ada bantahan dan keputusannya akan ditentukan oleh Amanah Nasional," katanya.