Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

SPRM buka 1 kertas siasatan isu tukaran tanah tentera

PARLIMEN | Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya membuka satu kertas siasatan daripada 16 laporan berhubung tukaran tanah (land swap) yang menyebabkan kerugian RM515.21 juta kepada Kementerian Pertahanan.

Perkara itu didedahkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin, dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat semalam.

“SPRM telah membuka satu kertas siasatan berhubung isu tohmahan rasuah berkaitan dengan tukaran tanah (land swap) dan selaras dengan peruntukan seksyen 29 (4) Akta SPRM 2009, suruhanjaya ini tidak dapat mendedahkan butiran siasatan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab Noor Amin Ahmad (PH- Kangar) yang bertanyakan hasil siasatan SPRM dan polis terhadap 16 kes tukaran tanah berkenaan, serta sama ada projek itu telah dibatalkan oleh Kementerian Pertahanan ataupun tidak.

Jelas Hanipa lagi, projek-projek tukaran tanah yang dilaksanakan dari 1997 hingga 2008 itu melalui pelbagai peringkat pelaksanaan yang berbeza.

“Sebanyak enam projek siap, satu projek gagal, satu projek dalam pembinaan, satu projek dalam tempoh condition precedent (syarat prajadi) dan tujuh projek telah memperolehi kelulusan prinsip,” katanya lagi.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dilaporkan berkata kerajaan melalui Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan telah melakukan siasatan terhadap perjanjian tukaran tanah yang mencurigakan.

Perjanjian tersebut melibatkan 1,186 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan bernilai RM4.75 bilion, manakala kos projek adalah RM4.88 bilion.

Kementerian tersebut membuat dua laporan terhadap kem tentera di Paloh, Johor dan Hutan Melintang, Perak pada Februari, sebelum membuat laporan terhadap 14 lagi perjanjian tukaran tanah pada 17 Mei.

Laporan berhubung tukaran tanah yang dibentangkan di Parlimen pada 9 Mei itu menunjukkan penglibatan bekas perdana menteri dan menteri pertahanan dalam 13 perjanjian tukaran tanah.

Kelulusan terhadap projek-projek tersebut didapati dibuat atas dasar pertimbangan politik dan kepentingan nasional.

[Baca berita asal]