Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

'Hutang 1MDB RM50.75b, k'jaan tanggung bayaran balik RM8.93b'

Sepanjang tempoh dua tahun lau, kerajaan telah menyalurkan RM8.93 bilion untuk membayar hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang mencecah lebih RM50 bilion, dedah Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

“Kerajaan bagi tempoh April 2017 hingga Mei 2019 telah menyalurkan bantuan kewangan kepada 1MDB sebanyak kira-kira RM8.93 bilion melalui Kementerian Kewangan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) … ,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.

Jumlah tersebut, katanya, disalurkan bagi tujuan pelunasan bayaran faedah pinjaman dan bayaran penyelesaian kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Wong Shu Qi (PH- Kluang) yang bertanyakan tentang jumlah hutang 1MDB yang telah dibayar balik serta rancangan pembayaran balik hutang 1MDB oleh kerajaan.

 

Kata Lim, jumlah hutang 1MDB pada 30 Oktober 2019 adalah RM50.75 bilion, yang terdiri daripada bayaran prinsipal dan faedah sukuk serta bon masing-masing berjumlah RM31.65 bilion dan RM10.2 bilion serta bantuan kewangan dari Kerajaan sebanyak RM8.93 bilion.

“Komitmen tahunan pembayaran faedah hutang 1MDB sehingga tahun 2021 pula adalah sebanyak kira-kira RM1.7 bilion,” katanya lagi.

Tambah Lim, sehingga 30 September 2019, jumlah dana berkaitan 1MDB yang berjaya didapatkan kembali dan didepositkan ke akaun pemulihan aset bawah Kementerian Kewangan ialah kira-kira RM925.1 juta, termasuk RM6.1 juta yang dipulangkan kepada Yayasan 1MDB.

Jumlah tersebut, diperoleh dalam pelbagai mata wang asing termasuk dolar AS, dolar Singapura, dolar Australia dan China Renminbi.

Namun, katanya, ia tidak termasuk hasil jualan kapal Equanimity kira-kira AS$126 juta (RM529.2 juta) yang diterima sepenuhnya pada 23 April 2019.

Wang hasil jualan itu kini disimpan dalam akaun pemegang taruh sherif (Sheriff's Stakeholder Account) bagi tujuan penyesuaian dengan tuntutan perbelanjaan penyelenggaraan kapal yang akan ditentukan melalui Perintah Mahkamah.

Setelah ditolak dengan jumlah perbelanjaan yang terlibat, baki hasil jualan dijangka akan didepositkan ke dalam akaun pemulihan aset pada suku tahun keempat tahun 2019.

“Secara keseluruhannya, jumlah dana berkaitan 1MDB yang telah berjaya didapatkan kembali adalah sebanyak kira-kira RM1.45 bilion,” jelasnya.

Katanya juga, dana daripada akaun pemulihan aset yang akan digunakan bagi tujuan pembayaran hutang 1MDB, adalah penting bagi mengelak berlakunya “event of default” ke atas hutang-hutang 1MDB selain mengurangkan tanggungan beban kewangan kerajaan.

Jika ia berlaku, tambahnya, ia akan memberikan impikasi buruk kepada ekonomi negara memandangkan hutang-hutang berkenaan dijamin oleh Kerajaan Malaysia melalui jaminan kerajaan, surat sokongan dan perjanjian penyelesaian.

Untuk rekod, “event of default” merujuk keadaan yang membenarkan pemberi pinjaman untuk menuntut bayaran penuh terhadap baki hutang, sebelum tempoh yang sepatutnya.

“Keseluruhan dana akaun pemulihan aset sebanyak RM1.45 bilion ini hanya mampu untuk menampung enam kali bayaran faedah hutang 1MDB daripada September 2019 hingga April 2020 iaitu sebanyak kira-kira RM1.34 bilion.

“Justeru itu, bantuan kewangan daripada kerajaan masih diperlukan bagi tujuan pelunasan hutang 1MDB mulai Mei 2020 dan seterusnya,” katanya lagi.

[Baca berita asal]