IGP: Bukit Aman akan siasat dakwaan polis aniaya pengawal Nepal
Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan segera menyiasat dakwaan bahawa dua pengawal keselamatan warga Nepal telah menjadi mangsa penganiayaan anggota polis selepas dakwaan berlaku insiden kecurian di sebuah taman perumahan dekat Seremban.
Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, jika ini berlaku, maka tindakan akan diambil terhadap anggota polis yang terbabit dalam kes itu.
“Jika benar, saya pasti akan menghukum orang yang terbabit. Saya telah mengarahkan JIPS Bukit Aman untuk menyiasat dengan segera,” katanya kepada Bernama hari ini.
Kes dua pengawal warga Nepal berusia 37 dan 40 tahun itu dilaporkan oleh wartawan negara, R Nadeswaran dalam artikelnya di Malaysiakini.
Dalam artikel itu, beliau mengisahkan apabila pasukan polis menahan kedua-dua pengawal itu pada 21 Okt lalu, majikan mereka tiada ketika itu tetapi pengurus tiba di pondok pengawal di mana mereka berdua bertugas dan dimaklumkan mereka ditahan kerana disyaki ada kaitan dengan kes kecurian tersebut.
Nadeswaran berkata kecurian itu didakwa berlaku pada 16 Okt lalu tetapi laporan polis hanya dibuat tiga hari kemudian. Menurutnya, tiada tanda-tanda berlaku kecurian dan tiada pintu atau tingkap kediaman dipecah.
“Satu-satu 'kesilapan’ dilakukan oleh pengawal tersebut ialah tidak mencatitkan secara tepat nama dan nombor kad pengenalan dua orang yang masuk ke taman perumahan itu yang kini menjadi suspek utama.
“Ini tentunya bukan merupakan satu kesalahan tetapi hanya kesilapan prosedur yang mana majikan mereka akan menangani masalah itu,” katanya.
Dalam artikel itu, Nadeswaran berkata majikan dan pegawai Kedutaan Nepal telah pergi ke balai polis Nilai pada 24 Okt lalu untuk menyerahkan pasport dua pengawal itu dan diberitahu bahawa mereka sedang ditahan di lokap polis di lokasi lain.
“Pegawai penyiasat itu berkata beliau akan memutuskan nasib pengawal itu pada hari Selasa kerana Isnin adalah cuti umum (sempena Deepavali)," katanya.
Nadeswaran berkata dua pengawal itu ditahan selama lapan malam termasuk pada hari Deepavali di lokap polis tanpa sebab sebelum dibebaskan tanpa syarat pada hari Rabu.
Beliau berkata: “Lapan malam dalam lokap untuk kesalahan yang tidak dilakukan mereka tidak dapat dijustifikasikan.”
“Mereka tidak terbabit dalam kes kecurian atau melakukan sebarang kesalahan imigresen. Ada banyak penjelasan perlu diberi oleh polis,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai