Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pembangkang bimbang S'gor akan ada belanjawan tambahan

DUN SELANGOR | Belanjawan Negeri Selangor 2020 yang dibentangkan Menteri Besar, Amirudin Shari di Dewan Undangan Negeri petang ini menyaksikan penurunan sebanyak RM230 juta berbanding peruntukan sebanyak RM2.56 billion pada Belanjawan 2019.

Bagaimanapun, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Rizam Ismail bimbang sekiranya kerajaan negeri perlu membentangkan belanjawan tambahan sebagaimana yang dibuat untuk Bajet 2019 lalu.

“Kita khuatir pengurangan jumlah belanjawan ini hanya akan menyaksikan kerajaan negeri perlu sekali lagi membentangkan perbelanjaan tambahan seperti mana yang dilakukan untuk tahun ini,” katanya.

Pada 2 Ogos lalu, Selangor meluluskan dana tambahan berjumlah RM123 juta untuk empat Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bagi membantu rakyat di negeri itu.

Peruntukan yang diluluskan itu bagi program air percuma 20 meter padu, Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss), Skim Peduli Sihat dan Skim Mesra Usia Emas (Smue).

Bantuan bagi keempat-empat program ini disediakan sehingga Disember tahun ini.

Belanjawan Selangor 2020 yang dibentangkan menteri besar hari ini berjumlah RM2.33 bilion.

Amiruddin berkata belanjawan bertemakan 'Selangor Negeri Unggul, Kehidupan Bermartabat' itu memperuntukkan RM1.2 bilion atau 51.44 peratus bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM1.133 bilion atau 48.56 peratus untuk pembangunan.