Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

RTS: Jimat tapi usah abai kualiti, kata MP Johor Bahru

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir, berharap keputusan kerajaan meneruskan projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor-Singapura dengan pengurangan kos yang ketara tidak akan meminggirkan mutu perkhidmatan yang bakal ditawarkan perkhidmatan kereta api rentas sempadan tersebut.

Beliau menjelaskan pengurangan kos sebanyak 36 peratus seharusnya dapat dinikmati rakyat negara ini terutamanya dengan memastikan penawaran harga tiket yang lebih munasabah untuk menggunakan perkhidmatan itu nanti.

“Saya berharap penjimatan kos ini akan dapat dinikmati oleh rakyat dengan memastikan harga tiket yang lebih munasabah kepada pengguna tanpa menjejaskan mutu perkhidmatan yang akan ditawarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam mengumumkan kerajaan akan meneruskan projek RTS yang ditangguh sejak Mei lalu tetapi dengan pengurangan kos kepada RM3.16 billion berbanding harga asal RM4.93 billion.

Katanya penjimatan ketara itu dapat direalisasikan apabila kos pembinaan dan sistem rel berjaya dioptimumkan.

Pengumuman itu dibuat dalam satu sidang media di Johor Bharu selepas kerajaan mendapat kelulusan kabinet untuk meneruskan projek itu pada 18 Okt lalu.

Akmal yang juga merupakan Ketua Pemuda PKR berkata pihaknya menyambut baik pengumuman tersebut memandangkan isu berkenaan sering dibangkitkannya di Dewan Rakyat sebelum ini.

“Umum mengetahui mengenai masalah kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Sultan Iskandar (CIQ) dan Tambak Johor; dan telah sering kali saya bangkitkan di Dewan Rakyat sebelum ini.

“Oleh itu, saya yakin dengan iltizam kerajaan menangani masalah kesesakan tersebut dan memudahkan urusan keluar masuk khususnya buat rakyat Malaysia ke Singapura,” katanya.

Beliau pada masa sama juga berkata pengurangan kos yang berjaya dicapai kerajaan itu selari dengan hasrat PH mahu memastikan perbelanjaan yang berhemah dalam projek-projek bernilai tinggi.

“Semoga pembinaan projek RTS dapat berjalan lancar dengan pengurusan tatakelola yang baik serta dapat dipantau secara telus dan terbuka,” tambahnya lagi.