Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Boko Haram bunuh 12 tentera Niger

GLOBAL l Penembak kumpulan Boko Haram telah membunuh 12 anggota tentera dalam satu serbuan sebelum subuh pada Rabu ke atas sebuah pangkalan tentera di wilayah Diffa yang terletak di tenggara Niger, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik laporan media tempatan.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Diffa adalah rumah bagi 120,000 pelarian dari Nigeria yang melarikan diri dari keganasan Boko Haram dan 110,000 pelarian domestik dari pelbagai bahagian di Niger.

Laporan Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) menyebut lebih 140 orang awam kehilangan nyawa mereka di kawasan yang sama semasa serangan Boko Haram.

Terletak berhampiran sempadan Nigeria, Diffa sering diserang oleh Boko Haram sejak 2015.

Pada pertengahan bulan Mac, satu perintah darurat yang diisytiharkan di Diffa telah dilanjutkan selama tiga bulan susulan beberapa serangan oleh kumpulan pengganas itu.

Sejak 2009, lebih 20,000 orang telah dibunuh oleh Boko Haram yang wujud di Nigeria pada awal tahun 2000-an.

- Bernama