Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menteri selar laporan The Star, dakwa serangan MCA menjelang PRK

Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyelar laporan media yang mencadangkang bahawa kerajaan akan memanjangkan tarikh akhir bagi membuat keputusan berkaitan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura.

Loke berkata laporan The Star yang memetik sumber pegawai yang tidak dinamakan adalah mengelirukan.

“Ini sama sekali mengelirukan dan kewartawanan yang tidak beretika.

“Kamu siarkan laporan muka depan berdasarkan sumber-sumber yang tidak dinamakan dan tidak disahkan?

“Perdana Menteri Dr Mahathir Mohammad dijadual membuat pengumuman berkaitan RTS pada jam 3 petang ini di JB (Johor Bahru,” katanya di Facebook.

Pengamal media turut diundang membuat liputan pengumuman itu di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Johor Bahru hari ini.

 Loke mengaitkan laporan itu dengan pilihan raya kecil Tanjung Piai.

“Jelas MCA sedang menggunakan media mereka untuk memburuk-burukkan kerajaan berdasarkan andaian salah dan menggunakan isu itu untuk pilihan raya kecil Tanjung Piai,” katanya kepada Malaysiakini.

MCA adalah pemegang saham terbesar The Star.

Pilihan raya kecil parlimen itu akan diadakan pada 16 November manakala tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada Sabtu ini.

Laporan The Star yang dipertikaikan itu melaporkan kerajaan sedang cuba memanjangkan tempoh enam bulan untuk menyemak semula projek bernilai RM4bil itu susulan isu-isu belum selesai di pihak Malaysia.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi penulis laporan itu.

[Baca berita asal]