AS keluarkan imej serbuan terhadap pemimpin IS al Bahgdadi
GLOBAL | Pentadbiran Trump pada Rabu telah mengeluarkan rakaman video berkaitan serbuan yang menyebabkan kematian bekas pemimpin IS, Abu Bakr al Baghdadi, lapor agensi berita Turki Anadolu.
Rakaman udara hitam putih itu menunjukkan sekumpulan anggota militan melepaskan tembakan ke arah tentera Amerika yang mendekati mereka, seperti yang dinyatakan oleh komander operasi serbuan tersebut.
Pentagon telah membuat penilaian bahawa pejuang terbabit bukanlah sekutu al-Baghdadi namun "tetap mempamerkan sikap permusuhan terhadap tentera AS," kata Jeneral Kor Marin Kenneth McKenzie Jr kepada pemberita di Pentagon.
Rakaman video menunjukkan beberapa letupan berlaku berhampiran kumpulan militan itu manakala video tambahan menyaksikan pasukan operasi khas AS yang terdiri daripada 10 anggota mendekati pekarangan kawasan di mana al-Baghdadi bersembunyi.
McKenzie berkata susulan adegan itu, mereka yang berada di dalam premis telah diminta keluar dan selepas beberapa orang berbuat demikian, mereka telah ditahan dan dibebaskan selepas pemeriksaan senjata api.
Kumpulan termasuk 11 kanak-kanak namun lima individu enggan memberikan kerjasama.
"Lima anggota Daesh yang berada dalam pekarangan itu mendatangkan ancaman kepada pasukan tentera AS. Mereka tidak memberikan maklum balas terhadap arahan dalam bahasa Arab agar menyerah diri dan terus mengancam pasukan tentera. Mereka kemudian telah berbalas tembakan dengan pasukan serbuan dan terbunuh," kata McKenzie.
McKenzie berkata al Baghdadi kemudian dilihat membawa dua orang kanak-kanak bersamanya ketika cuba melarikan diri daripada tentera Amerika.
Kedua-dua kanak-kanak itu terbunuh semasa al Baghdadi meletupkan ves bahan letupan yang dipakainya, menyebabkan terowong di sekeliling mereka runtuh.
Secara keseluruhan, enam anggota IS terbunuh dalam serbuan itu, termasuk empat wanita, kata McKenzie.
Dua lagi lelaki telah ditahan.
Trump pada Ahad mengumumkan serbuan yang dilancarkan ketika lewat malam itu di wilayah Idlib di barat laut Syria.
Rakaman tambahan yang dikeluarkan Pentagon menunjukkan senjata berat turut digunakan bagi meratakan kawasan di lokasi kejadian.
McKenzie berkata langkah itu bertujuan "memastikan ia tidak akan dianggap sebagai keramat atau tempat suci yang perlu diperingati dalam apa cara sekalipun."
Beliau mengesahkan bahawa jasad al-Baghdadi telah dikebumikan di laut "mengikut undang-undang konflik bersenjata" sama seperti cara AS melupuskan jasad pemimpin al Qaeda yang dibunuh, Osama bin Laden, pada 2011.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai