Hew rancang fail semakan kehakiman cabar pengharaman komik BRI
Bekas anggota DAP Hew Kuan Yau memutuskan untuk mencabar keputusan kerajaan mengharamkan komik tulisannya, "Inisiatif Jalur & Jalan (BRI) Meraih Manfaat Bersama", di mahkamah.
Dia yang juga kurator Muzium Kebudayaan dan Komik Asia berkata akan memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar pengharaman yang diwartakan oleh Kementerian Dalam Negeri.
"Peguam saya akan mengumumkan perinciannya tak lama lagi," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Hantaran itu turut disertai tanda pagar “#IDidNotSpreadCommunism” and “#IamJustPromotingWin-Winism”.
Hew enggan memberikan maklumat lanjut ketika dihubungi Malaysiakini.
Terdahulu hari ini, Setiausaha Agung Lim Guan Eng enggan mengulas berkenaan komik itu, yang turut menyertakan prakata yang ditulisnya.
Lim berkata ini kerana dia difahamkan pihak yang terlibat dengan penerbitannya, termasuk Hew, mahu mengambil langkah perundangan.
Komik tersebut, hasil karya Hew dan kartunis tempatan Tomato, menjadi perhatian awam selepas didapati diedarkan di sejumlah sekolah.
Susulan itu Kementerian Pendidikan mengeluarkan larangan pengedaran buku itu di sekolah dan berkata tindakan itu tidak pernah mendapat kebenaran.
Pada 23 Oktober lalu, Kementerian Dalam Negeri mewartakan perintah larangan terhadap komik itu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
Antara sebab yang diberikan ialah ia cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme serta menyebarkan fakta yang salah.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai