Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bot karam: Mangsa selamat diam enggan beri kerjasama

Mangsa lelaki yang selamat dalam kejadian bot karam pada Khamis lepas, bertindak berdiam diri berhubung insiden yang mengorbankan dua nyawa dan enam termasuk dua kanak-kanak masih tidak ditemui dan dikhuatiri lemas.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor ketika dihubungi Bernama berkata lelaki berkenaan tidak mahu memberikan kerjasama sepenuhnya.

Mangsa yang berusia 29 tahun berasal dari Sibutu, Filipina itu ditemui selamat pada 24 Okt lalu di perairan Merabung oleh seorang juragan kapal nelayan.

Dalam pada itu, Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri berkata Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) hari kelima ditangguhkan dan disambung esok.

"Tiada petunjuk keberadaan mangsa atau bangkai bot karam," katanya turut bersama dalam pencarian itu oleh Pasukan Gerakan Udara.

Selain itu, katanya pencarian di sempadan Filipina oleh the Philippines National Police Maritime Group (PNP MG) juga tidak menemukan mangsa.

Dilaporkan sebelum ini, sembilan individu menaiki sebuah bot dari Sibutu, Filipina dipercayai karam, sebelum seorang mangsa lelaki yang selamat ditemui di perairan Merabung, Tungku dekat sini pada Khamis.

Manakala seorang wanita ditemui mati terapung di perairan Bangingod, Tungku pada Jumaat, dan seorang lelaki berusia 40-an ditemui hanyut di perairan Pulau Mataking, menjadikan enam individu lagi masih hilang.

- Bernama