Ke mana hala tuju ekonomi gig di Malaysia?
ULASAN | Ketika sidang Dewan Rakyat minggu lalu, Noor Azmi Ghazali (PH-Bagan Serai) bertanya adakah kerajaan akan mengadakan suatu garis panduan kepada mereka yang terlibat dalam ekonomi gig di negara ini selain mewajibkan golongan itu memiliki lesen memandu dan cukai jalan yang sah.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menjawab negara masih belum ada garis panduan atau peraturan berkaitan yang membolehkan tindakan dikenakan terhadap mana-mana majikan yang didapati menindas pekerja sektor ekonomi gig.
Di peringkat antarabangsa, sekurang-kurangnya tiga perkembangan menarik berkaitan ekonomi gig yang berlaku mutakhir ini. Pertama, California Assembly Bill 5 (AB5) telah diluluskan pada September lalu. Akta AB5 digubal untuk mengklasifikasikan status pekerja bebas atau prekariat (independent contractors) yang bekerja dalam sistem ekonomi gig turut sama menikmati layanan faedah sebagai pekerja syarikat.
Kedua, Ketua Pegawai Eksekutif Gojek Nadiem Makarim telah dilantik sebagai Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia. Menteri paling muda dalam kabinet baru Presiden Jokowi meninggalkan dunia korporat ketika firma Gojek dianggarkan bernilai AS$10 bilion. Gojek antara e-hailing terkemuka yang mendapat suntikan dana lebih AS$1 bilion dari Tencent dan Google.
Ketiga, firma MBO Partner melaporkan pekerja bebas menyumbang AS$1.28 trilion untuk ekonomi Amerika pada tahun 2018. Lebih satu per tiga atau kira-kira 57 juta tenaga buruh di negara Uncle Sam itu bekerja dalam kitaran ekonomi gig. Kira-kira 78 peratus pekerja bebas lebih gembira dan 68 peratus lebih sihat berbanding bekerja dalam lapangan kerja tradisional.
Tiga perkembangan tersebut menunjukkan ekonomi gig sedang memacu laju dan mula membentuk trend pekerjaan global. Apa yang lebih menarik, firma Edison Research melaporkan 38 peratus daripada belia yang berumur 18 hingga 34 tahun sedang bekerja dalam ekonomi gig, dengan 53 peratus daripada mereka menjadikannya sebagai sumber pendapatan utama.
Tiga komponen utama
Sebenarnya ekonomi gig bukan fenomena baru. Pekerja bebas (freelancer) seperti konsultan telah lama wujud. Ia mula menjadi salah satu trend utama global disebabkan peranan teknologi. Kepesatan teknologi telah dianggap sebagai ‘disruptive innovation’ dan membuka ruang yang lebih luas kepada pekerjaan yang berorientasikan ‘gig’ untuk diakses oleh kebanyakan individu.
Tiada satu definisi universal bagi ekonomi gig. Istilahnya diperkenalkan oleh Tina Brown pada 2009 iaitu selepas kemelesetan ekonomi global. Investopedia menakrifkannya sebagai, “flexible jobs are commonplaces and companies tend towards hiring independent contractors and freelancers instead of full-time employees”.
Mereka yang bekerja dalam sektor ini biasanya dipanggil ‘freelancer’ atau ‘gigger’. Selain itu, terdapat beberapa istilah lain yang sering digunakan. Sebagai contoh, ‘sharing economy’, ‘collaborative economy’, ‘digital economy’, ‘crowd economy’ dan ‘peer economy’. Perkhidmatan yang ditawarkan sama ada tugasan berdasarkan kemahiran atau kehendak.
Ekonomi gig adalah pekerjaan yang berasaskan kontrak jangka pendek dan pekerjaan bebas dengan disokong oleh aplikasi teknologi. Tiga komponen utamanya ialah pekerja bebas dibayar berasaskan tugas tertentu, pelanggan mahu perkhidmatan spesifik, dan syarikat membina medium antara pekerja bebas dengan pelanggan menggunakan platform aplikasi terknologi.
Satu contoh menarik ialah FlexingIt yang berpangkalan di New Delhi. Pengasas FlexingIt Chandrika Pasricha yang berpengalaman selama 20 tahun dalam bidang konsultansi, memulakan inisiatifnya sebagai ejen ‘matchmaker’ antara syarikat dan profesional. Hari ini, FlexingIt menghubungkan 90,000 konsultan profesional, 3,500 syarikat pelbagai industri dan 5,800 projek.
FlexingIt menawarkan lebih lapan kategori pekerjaan utama, berkemahiran luas daripada peringkat rendah hingga tinggi dan pakej pembayaran yang kompetitif. Contoh ini menunjukkan bagaimana syarikat menawarkan satu bentuk model bisnes ekonomi gig yang memberikan banyak peluang kepada pekerja bebas memperoleh upah dengan jadual kerja yang fleksibel dan diuruskan menerusi ekosistem teknologi.
Adakah Malaysia bersedia?
Belanjawan 2020 yang dibentang pada 11 Oktober lalu menumpukan satu bahagian penting mengenai ekonomi digital. Ia dijadikan satu teras utama untuk menunjangi pertumbuhan ekonomi negara. Beberapa tumpuan yang diberikan oleh kerajaan persekutuan antaranya pembinaan infrastruktur, aplikasi, syarikat dan masyarakat digital.
Namun kerajaan persekutuan belum mempunyai misi yang jelas bagaimana menyediakan peluang dan rantaian pekerjaan berasaskan ekonomi gig untuk menggantikan pekerjaan tradisional di Malaysia. Tambahan pula ada sejumlah 51,365 graduan masih belum mempunyai pekerjaan selepas setahun tamat pengajian. Bagaimana ekosistem ekonomi gig boleh membantu mereka?
Malaysia masih berada dalam fasal awal untuk mengawal selia ekonomi gig. Justeru tidak hairanlah perdana menteri dalam jawapannya di Dewan Rakyat itu menjelaskan, kerajaan persekutuan akan memberikan tumpuan khas kepada ekonomi gig sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru dalam merangka Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025.
Kerajaan persekutuan juga telah menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dianggotai oleh Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Mereka ditugaskan untuk merangka ekosistem ekonomi gig terutama daripada aspek regulasi, pembelaan terhadap kepentingan pengguna dan pekerja.
Boleh jadi jalan keluar?
Ada dua isu utama berkaitan sistem ini yang mendapat perhatian baru-baru ini di Malaysia. Pertama, Suruhanjaya Persaingan Malaysia mengenakan denda sebanyak RM86.8 juta kepada Grab kerana menindas dan mengganggu pasaran pesaingnya. Kedua, lebih kurang 100 orang bebas Foodpanda berpiket di beberapa negeri kerana tidak berpuas hati dengan skim pembayaran baru.
Setakat Ogos 2019, jumlah tenaga buruh di Malaysia ialah 15.71 juta orang. Sebanyak 520 ribu (3.3 peratus) daripadanya adalah penganggur dan hampir 60 peratus daripada jumlah penganggur tersebut terdiri di kalangan belia. Kadar peratusan sebenar jumlah penganggur di kalangan belia mencecah dua angka (10.9 peratus), meningkat secara marginal sebanyak 0.2 peratus berbanding tahun 2015.
Cabaran paling besar adalah ‘mismatched’ dalam peluang pekerjaan yang disediakan. Bayangkan daripada 1.47 juta pekerjaan yang ditawarkan, hanya 4.5 peratus dikhususkan untuk golongan profesional, lepasan tertiari dan berkemahiran tinggi. Selebihnya untuk pekerjaan berkemahiran rendah.
Bagaimana golongan belia mahu memenuhi pasaran tersebut jika kerja dan upah yang ditawarkan tidak sepadan dengan ilmu dan kemahirannya?
Hal tersebut membawa kepada satu isu baru iaitu ‘underemployment’. Saya tertarik dengan satu contoh yang disiarkan dalam akhbar The Star bertarikh 24 September 2019 bertajuk, ‘Address the underemployment issue’. Penulis berkata:
“From 2010 to 2017, more than 170,000 graduates entered the workforce. However, there were only 98,000 high skilled employment gains in that period, according to Bank Negara. That means that out of every 10 graduates, more than four were forced to take jobs for which they were overqualified”.
Persoalannya, adakah ekonomi gig mampu mengatasi masalah pengangguran dan pekerjaan di bawah potensi sebenar (underemployment) di kalangan anak muda?
Sistem ini boleh menyelesaikan masalah pengangguran tetapi bekerja sebagai prekariat sukar untuk mengatasi kemelut ‘underemployment’ dan ‘jobs security’. Jika ini berlaku, anak muda akan terus terperangkap dalam lingkungan berpendapatan rendah dan sederhana.
Perkara ini dapat diatasi jika anak muda meningkatkan keberdayaan diri dengan kemahiran tinggi dan mempunyai mentaliti keusahawanan yang betul. Mereka perlu mencipta peluang pekerjaan baru dengan menjadi seorang prekariat yang menawarkan pekerjaan profesional dan bernilai tinggi. Keluar daripada kepompong ‘cukup makan’ dan mula membina jenama sendiri.
AHMAD FADHLI SHAARI ialah timbalan ketua pemuda PAS dan anggota parlimen Pasir Mas.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai