Tak perlu terhegeh-hegeh cari orang ikut 'pintu belakang' - Zahid
Umno tidak berminat dengan rundingan bagi membentuk kerajaan melalui "pintu belakang" kerana yakin usaha itu tidak akan ke mana, kata Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno itu turut menafikan terdapat rundingan antara parti itu dengan pihak tertentu, sebaliknya berkata Umno bersedia menukar kerajaan melalui pilihan raya.
"Tidak ada runding-runding ikut pintu belakang, tidak ada. Kalau kita kuat, kita tak perlu berunding ikut pintu belakang.
"Kalau kita kuat, kita bersatu, pasti orang cari kita, kita tak perlu cari orang.
"Kalau nak berunding pastikan ketika kita kuat. Kalau berunding ketika kita lemah memang berunding untuk kita tuju ke laut," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Umno Pahang, hari ini.
Ucapan Zahid itu disiar secara langsung melalui Facebook.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan Umno pusat.
Pada 16 Okt lalu, Presiden PKR Anwar Ibrahim memberi bayangan terdapat usaha belakang tabir bagi mengumpul sokongan anggota parlimen untuk menghalang peralihan kuasa.
Pendedahan Anwar kemudian disusuli dengan kenyataan Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein menggerakkan kempen untuk membentuk kerajaan baru dengan mengenepikan Amanah dan DAP.
Hishammuddin bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan mengatakan "siapalah beliau" yang tidak memiliki apa-apa jawatan untuk menggerakkan usaha itu.
Setiausaha Agung Umno Annuar Musa pada 18 Okt berkata parti itu tidak berminat merampas Putrajaya dengan membentuk kerajaan melalui "pintu belakang".
Beliau berkata parti itu kini fokus kepada mendapatkan semula sokongan rakyat serta menyatukan orang melayu melalui Muafakat Nasional.
Sementara itu, Zahid berkata jika Umno berjaya membina kekuatan dan perpaduan, parti itu berupaya membentuk 'kuasa ketiga' dengan bilangan anggota parlimen Umno dan PAS, termasuk dari Sabah dan Sarawak.
Katanya, Umno tidak perlu terhegeh-hegeh mencari mencari pihak lain sebaliknya perlu istiqamah dalam merancang perjuangan.
"Jangan terhegeh-hegeh cari orang biar orang terhegeh-hegeh cari kita. Dalam soal ini istiqamahlah kita ujian tetap datang ketika ini Allah sedang uji kita.
"Kalau sedikit saja kena jentik telinga, telinga dah merah, macam mana nak jadi pemimpin masa depan, mesti istiqamah, mesti ada daya tahan," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai