'Saya cuma buat kerja saya, ikut arahan parti'
WAWANCARA | Nama Dr Siti Mariah Mahmud bukan asing dalam gerakan politik negara ini.
Beliau bermula sebagai salah seorang pemimpin Wanita PAS yang menonjol dan pernah dianggap mempunyai masa depan yang cerah dalam parti itu.
Bagaimanapun dengan krisis dalaman PAS dan lahirnya Amanah, langkah Siti Mariah - serta sejumlah tokoh lain - terhenti di situ. Namun ia bukan penamat, sebaliknya permulaan kepada langkah baru yang lebih dominan.
Siti Mariah - yang sebelum ini menjadi pembangkang - kini menjadi sebahagian daripada kerajaan. Bermula dengan anggota parlimen, beliau 'berhijrah' ke kerusi DUN di Selangor dan menjadi exco di negeri itu.
Di peringkat parti, beliau kini menggalas tugas sebagai ketua Awan (Angkatan Wanita Amanah Negara).
Namun baru-baru ini, dalam pemilihan Amanah Puchong, nama Siti Mariah 'tercicir' daripada jawatan utama kawasan berkenaan meskipun sebelumnya beliau terpilih - sehinggalah keputusan pemilihan berkenaan dibatalkan atas sebab teknikal.
Siti Mariah bukan kalah dalam pemilihan Amanah Puchong, sebaliknya nama beliau pun tidak dicalonkan.
Malaysiakini berpeluang bertanyakan beberapa soalan kepada doktor perubatan yang mendapat pengajian peringkat sarjana muda di Mesir itu semalam.
Soalan: Pada pemilihan kali ini, kita melihat ramai pemimpin kanan atau anggota awal Amanah kalah. Apa komen YB?
Siti Mariah: Ceritanya begini: semasa kami mendirikan Amanah dulu memang lambatlah nak dapat ahli dan tak memenuhi sasaran yang dikehendaki.
Tetapi, selepas kita menang (dalam PRU ke-14) berlumba-lumba orang nak masuk dan sertai Amanah. Sebabnya, sekarang Amanah adalah parti kerajaan.
Jadi, ada antara mereka yang dah pegang kawasan dan (jawatan lain) sebagainya mereka ada idea-idea mereka sendiri.
Ada juga yang terbawa-bawa dengan konsep 'parti menguasai kerajaan'. Jadi, di kawasan-kawasan tertentu Adunnya mungkin bukan orang kuat dalam kawasan berkenaan. Macam saya, dari kawasan lain.
Jadi, mungkin mereka tidak dapat menguasai Adun mereka dan banyak salah konsep. Mungkin dapat baca Facebook, dapat baca semua kan.
Ada antara ahli yang baru menyertai Amanah ini ada juga datang dari parti-parti lain. Antara mereka mungkin mahu Amanah seperti Umno dulu.
Maknanya setelah naik (jadi kerajaan), berilah jawatan, berilah kontrak kepada kami. Ini secara umum.
Dan pada masa sama pemimpin parti sangat-sangat berpegang kepada prinsip. Kalau kita baca Facebook, (ada banyak) maki-hamun kepada pemimpin (parti) kerana tak membawa.... iyalah, kalau kita nak bawa (beri jawatan atau tugasan) berapa orang kita boleh bawa?
Jawatan-jawatan pun kita nak kena tengok kepada kemampuan dan sebagainya. Jadi, kemarahan itu memang adalah.
Iyalah, saya sendiri kalau sebagai Adun, saya hanya boleh melantik tiga pegawai pusat khidmat masyarakat saya, dan saya juga perlu mengambil orang yang boleh memberi sepenuh masa. Gajinya pula bukan banyak, RM2,000.
Jadi, inilah dilema yang kami - pemimpin Amanah - hadapi. Sebab itu saya fikir budaya politik Malaysia kena berubah.
Saya dah lebih 20 tahun dalam politik. Niat kita sebelum masuk politik kena betul. Kalau niat kita masuk politik adalah untuk jawatan, untuk habuan dan sebagainya, memang berantakkanlah semuanya.
Itulah sebabnya kita perlu mendidik ahli parti.
Saya akui apabila Amanah menang, kami - parti yang sangat muda - belum sempat lagi turun ke semua kawasan dan sebagainya untuk indoctrinate ahli parti, seperti memahamkan tujuan parti dan sebagainya.
Dan rasanya ramai pun lagi yang belum faham pun apa itu perjuangan politik.
S: Bagaimana politik dalam Amanah sendiri?
Siti Mariah: Kami tidak ada apa-apa masalah, dan sebenarnya sangat solid. Cuma sebahagian daripada ahli Amanah berasa marah kerana kami kurang menyantuni mereka seperti sebelum ini.
Itulah punca timbulnya banyak kritikan - sebab tak ada komunikasi dan kalau ada pun, komunikasi itu kurang berkesan.
Saya pun dah satu setengah tahun ini menjadi Ketua Awan (Wanita Amanah) saya sendiri tak puas hati dengan prestasi saya.
Sebagai Adun, sebagai exco kita ada perkara-perkara yang kami kena laksanakan dahulu. Kalau tidak terjejaslah PH.
S: Sebelum ini YB nyatakan, selepas Amanah menang dan jadi kerajan, ramai berpusu-pusu masuk parti dan ramai juga antara mereka adalah bekas ahli Umno?
Siti Mariah: Ya, semua parti macam itu. Tak dapat di sini, lompat ke sana.
Baru-baru ini, pada pusingan pertama pemilihan (calon) yang kalah mula meninggalkan ahli jawatankuasa lama, bila kita suruh buat balik mesyuarat (mereka) tak nak beri kerjasama.
Yang menang, tak nak buat mesyuarat semula, sebab dah menang dan bimbang kalah.
S: Jadi, betul atau tidak kehadiran bekas ahli Umno ke dalam Amanah bertujuan untuk meletakkan orang-orang Umno dalam Amanah?
Siti Mariah: Ada desas-desus begitu tapi itu adalah cuma desas-desuslah. Saya tak buat kajian dan sebagainya.
S: Kalau betul, apa tindakan Amanah dan YB selaku ketua wanita?
Siti Mariah: Saya ketua Wanita Amanah dan saya fikir ini dalam pengetahuan. Cumanya, saya dah bagi tahu kepada ahli parti, tahun ini saya tak akan bertanding kerana saya nak beri pemimpin baru untuk jadi ketua Wanita Amanah yang mungkin tidak ada (jawatan dalam) DUN lagi, dan tidak menjadi exco.
Ini perlu supaya mereka ada lebih banyak masa memperkukuhkan Wanita Amanah.
Dan saya pula membebaskan diri saya daripada jawatan ketua Wanita Amanah. Terpulanglah kepada ahli parti di mana mereka nak letak saya.
S: Pada pemilihan kali kedua Amanah Puchong baru-baru ini YB tidak mendapat tempat dalam kepemimpinan kawasan, boleh ulas?
Siti Mariah: Apa yang berlaku di Amanah Puchong, yang lepas itu (pemilihan pertama) saya ada.
Pemikiran aktivis di Amanah Puchong adalah YB jaga kawasan, jaga rakyat sebab banyak (tugas-tugas lain selaku) exco, Adun. Maknanya, mereka mahu aktivis local (tempatan) yang menjaga kawasan.
Dari segi parti politik saya tak ada masalah dalam hal itu.
Cuma dalam pemilihan baru (kalil kedua) itu, cerita betulnya adalah, hanya empat cawangan yang terlibat (dalam pemilihan), sebab cawangan yang lain penubuhannnya dah terbatal (belum didaftarkan secara rasmi).
Jadi, empat cawangan yang terlibat itu ada miscommunications (masalah komunikasi). Hanya satu cawangan yang mengemukakan pencalonan, tiga lagi tak kemukakan pencalonan.
Jadi, apabila sampai hari mesyuarat mereka ingat pakai pencalonan lama saja, tapi pencalonan lama itu tidak terpakai. Maka pencalonan baru itu hanya satu cawangan sajalah.
Masalah komunikasi ini, (urusan merekalah), saya tak terlibat dalam kawasan.
Untuk makluman semua - saya tak malu nak cerita ni - saya diletakkan (bertanding dalam PRU lalu) di DUN Sri Serdang kerana itu... kita (Amanah) ada 10 kerusi, arahan parti adalah untuk saya turun ke sana.
Memang ada penolakan daripada Amanah Puchong kerana mereka sudah ada calon pilihan sendiri.
Jadi, selepas kami menang setahun lebih, saya berkhidmat di sana, memang saya tak mendapat kerjasama yang baik daripada Amanah Puchong. Itu secara jujurnya.
Jadi, ini adalah... orang nak spin, orang nak apa, ikutlah. Saya buat kerja saya, saya ikut arahan parti.
Bagi saya, bab menjadi pimpinan, ditolak atau diterima, itu tidak menjadi satu perkara yang berat. Yang penting, apa tugas yang diberikan, saya lakukan dan ini sudah penggal ketiga saya sebagai wakil rakyat.
Kita tidak dapat memuaskan semua hati, yang penting saya buat tugas saya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai