Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Guan Eng: Tindakan perlu diambil pada sesiapa cuba jatuhkan PH

Tindakan perlu diambil terhadap sesiapa yang cuba menyingkirkan mana-mana lima parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH), kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Lim berkata semua pihak harus menghormati mandat diberikan kepada lima parti berkenaan yang terdiri daripada empat komponen PH dan Parti Warisan Sabah untuk mentadbir negara ini.

"Tindakan perlu diambil terhadap sesiapa yang cuba menyingkirkan secara tidak sah mana-mana lima parti yang mentadbir Malaysia, kerana ia merupakan pengkhianatan kepada demokrasi dan mandat yang diberikan oleh rakyat," katanya dalam satu kenyataan.

Rabu lalu, DAP berkata parti itu akan merujuk Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu kepada lembaga disiplin parti susulan kenyataan beliau bahawa PH masih boleh mentadbir tanpa Bersatu jika pengerusinya Dr Mahathir Mohamad cuba membentuk gabungan baru.

Susulan kenyataan itu, timbul spekulasi bahawa Anggota Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussien bekerjasama dengan beberapa pihak dalam PKR dan Bersatu untuk membentuk kerajaan tanpa penyertaan DAP dan Amanah.

Pada masa sama perancangan itu juga dikatan berusaha untuk menggagalkan peralihan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.


Baca: Peralihan kuasa: Kenyataan terselindung Anwar, MP BN cetus lagi tanda tanya


Hishammuddin bagaimanapun menafikan perkara itu.

Lim yang juga menteri kewangan berkata, beliau mengakui isu peralihan kuasa menjejaskan urus tadbir dan ekonomi negara.

"DAP mengulangi sokongan penuh PH kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri serta pelan peralihan PH untuk Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri yang akan datang.

"Perlu ada kepastian, kejelasan dan konsistensi dalam dasar politik dan ekonomi untuk membina keyakinan orang ramai dan mengatasi defisit kepercayaaan," katanya.

Kata Lim, meskipun rakyat memahami bahawa beban yang disebabkan pentadbiran terdahulu tidak dapat diatasi dalam masa yang singkat, namun kerajaan berusaha keras dan ikhlas untuk memenuhi manifesto yang dijanjikan pada pilihan raya umum lalu – seperti mengakhiri penahanan tanpa perbicaraan.

“DAP kekal dengan pendirian bahawa undang-undang yang menindas seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA harus dimansuhkan seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya PH – dan akan berusaha ke arah itu.

“Rakyat Malaysia tak boleh pandang remeh mengenai ancaman yang ditimbulkan oleh mereka yang ingin menggangu perpaduan negara dengan kenyataan pelampau dan perkauman.

“Kita mesti terus waspada terhadap mereka yang secara terbuka ingin menukarkan pentadbiran PH dengan cara yang tidak demokratik atau mereka yang dalam keadaan ingin melemahkan pentadbiran dan perpaduan PH,” katanya.