Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

'Jumpa pembangkang bincang majukan negeri, bukan tubuh k'jaan baru'

Timbalan Ketua Bersatu Melaka Mohd Rafiq Naizamohideen berkata perjumpaan dengan wakil Umno negeri baru-baru ini tidak ada kaitan dengan dakwaan ingin membentuk kerajaan negeri baru.

Sebaliknya, kata exco negeri itu, perjumpaan dengan pemimpin pembangkang adalah atas semangat kerjasama untuk majukan negeri.

"Kongres Maruah Melayu membuka lembaran untuk parti-parti politik yang berbeza ideologi politik duduk bersama untuk kepentingan bangsa, agama dan negara.

"Sekiranya ada pimpinan dari parti kerajaan dilihat duduk berbincang dengan (pembangkang), mungkin mengadakan engagement secara bersama, ia seharusnya tidak dilihat sebagai cubaan tukar kerajaan, itu pemikiran yang jumud dan sempit," katanya.

Tambah Mohd Rafiq, selepas pilihan raya umum (PRU) lalu, rakyat menuntut politik baru yang membolehkan kerajaan dan pembangkang duduk bersama mencari persamaan untuk majukan negeri dan negara.

Kongres Maruah Melayu di Shah Alam pada 6 Oktober lalu menyaksikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkongsi pentas dengan pemimpin pembangkang seperti Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Umno Annuar Musa.

Mohd Rafiq berkata demikian sebagai respons terhadap sumber-sumber Umno yang mendakwa bahawa dia telah bertemu dengan Pengerusi Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh dan beberapa Adun parti itu baru-baru ini.

Pertemuan yang lebih besar dengan semua Adun Umno didakwa dirancang, tetapi dibatalkan selepas Mohd Rafiq bertemu pertama Rauf.

Ketika ditanya berhubung perjumpaan itu, Rauf menjawab dengan ringkas: "Tanyalah sumber tu betul atau tidak."

Apabila ditanya sama ada dia menafikan perjumpaan itu, Rauf menjawab: "Tanyalah sumber di mana kita jumpa, saya pun tak tahu macam mana boleh kata jumpa saya dia (Mohd Rafiq). Saya tak tahu, saya tak tahu."

Bagaimanapun, Adun Rim, Ghazale Muhammad, yang dikatakan turut menyertai perjumpaan itu, berkata: "Kita berbincang pasal kongres Melayu peringkat negeri, sebab pernah jumpa peringkat nasional," katanya.

Ghazale menafikan terdapat sebarang perbincangan tentang membentuk kerajaan baru.

"Tidak ada (perbincangan membentuk kerajaan baru). Saya memahami Rafiq, dia dulu anak didik saya. Dia dengan stand (pendirian) dia, kami dengan stand (pendirian) kami.

"Bagi kami, apa yang diputuskan oleh rakyat pada pilihan raya lepas, kekal," katanya.

Rafiq menjelaskan bahawa dia tidak merancang untuk menganjurkan kongres sendiri, tetapi hanya membincangkan bahawa jika terdapat program sedemikian yang akan dianjurkan oleh pihak ketiga, pembangkang dan pemimpin kerajaan negeri tidak ada halangan untuk hadir.

"Cara politik lama yang mendorong kepada permusuhan antara pimpinan parti politik, kerajaan dan pembangkang secara ekstrem sepatutnya dihentikan," katanya.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa beberapa sumber mendakwa Mohd Rafiq dan pemimpin Bersatu Noor Effandi Ahmad sedang berusaha untuk menjatuhkan kerajaan Melaka dan menyingkir Ketua Menteri Adly Zahari.

Apabila dihubungi, Rafiq menafikan dakwaan tersebut. Rafiq dan Effandi menandatangani satu kenyataan bersama yang turut ditandatangani semua Adun PH negeri itu untuk memberi sokongan kepada Adly.

Ketika ini, PH mempunyai majoriti tipis dalam membentuk kerajaan Melaka dengan memegang 15 kerusi dalam perhimpunan 28 kerusi, bererti hanya satu kerusi diperlukan pembangkang untuk menggantung dewan undangan negeri.