'Sabah akan pastikan gajah pygmy tak pupus seperti badak sumbu'
Timbalan Ketua Menteri Sabah Christina Liew berkata kerajaan negeri sudah menyiapkan satu draf Pelan Tindakan Pemuliharaan Gajah 2020-2030 dan dijangka dibentangkan kepada kabinet negeri tahun depan.
Beliau berkata sekiranya kerajaan negeri meluluskan pelan itu, kementerian diterajuinya boleh meningkatkan usaha pemuliharaan gajah dan mengambil lebih banyak renjer hutan.
“Sekarang kami hanya ada 60 renjer di Sabah dan 14 pegawai dan jumlahnya kecil, mungkin dua renjer untuk sebuah hutan tapi kita ada banyak hutan.
Jadi, jika rancangan kami untuk pemuliharaan gajah itu diluluskan, maka kami boleh mendapatkan lebih banyak peruntukan untuk mengambil lebih banyak renjer dan doktor veterinar, jadi apabila kami sampai di lokasi kejadian, kami boleh menyelamatkan gajah yang cedera,” katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu, semalam.
Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata terdapat kira-kira 2,000 ekor gajah di negeri ini.
Usaha pemuliharaan itu adalah bagi memastikan gajah di Sabah tidak akan pupus seperti badak sumbu, katanya.
Selain itu, Liew berkata pendidikan dan kerjasama daripada pemilik ladang kelapa sawit dengan kerajaan dan Jabatan Hidupan Liar negeri adalah penting untuk menangani konflik manusia-gajah.
“Mereka (gajah) gembira di hutan, tetapi apabila hutan diganggu, mereka tiada tempat hendak dituju,” tambah Liew.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai