Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Syed Saddiq digesa jelaskan dakwaan pilih kasih

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman digesa menjelaskan dakwaan pilih kasih dan salah guna kuasa membabitkan pertemuannya dengan delegasi yang dikatakan dari syarikat e-sukan, Cleo International Sdn Bhd.

Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Setiausaha Pemuda PKR (AMK) Wilayah Persekutuan Juliyus Allen mendakwa syarikat itu tidak mempunyai pengalaman dalam industri e-sukan.

Allen juga mendakwa pengasas Cleo International baru saja menyertai parti Bersatu.

"Perjumpaan seorang menteri dengan delegasi sebuah syarikat yang berumur tidak lebih daripada satu minggu ini telah menimbulkan pelbagai soalan akan kriteria-kriteria yang diperlukan sesuatu syarikat untuk mengadakan kerjasama bersama pihak kementerian.

"Isu ini bertambah rumit apabila terdapat tuduhan bahawa Kementerian Belia dan Sukan telah berkali- kali menolak permohonan daripada sebuah pertubuhan E-sukan, Esport Kuala Lumpur Association (ESKL) untuk membincangkan pelan pembangunan mereka.

"Polemik membabitkan syarikat Cleo International dan pemiliknya Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin bertambah serius apabila pihak umum sedar bahawa syarikat tersebut didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia sebagai sebuah syarikat khidmat pengangkutan dan logistik dan pemiliknya tidak mempunyai sebarang pengalaman di dalam industri E-sukan," katanya.

Menurut satu laporan oleh Malay Mail, Cleo International sebelum ini dipanggil sebagai Mideast Peak Sdn Bhd sehingga 16 Okt lalu. Mideast Peak telah diperbadankan pada Disember 2016.

"Keadaan ini akan membawa kepada persepsi negatif terhadap kementerian dan bercanggah dengan ideologi Pakatan Harapan," tambah Allen.

Allen berkata Nur Fathiah telah menulis berkongsi mengenai penyertaannya dalam Bersatu melalui akaun Instagram.

Bagaimanapun, kiriman instagram yang dikatakan memaparkan gambar Nur Fathiah dengan seorang pemimpin Bersatu Segambut itu tidak lagi dapat diakses.