Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Isytihar harta: PAS, Umno sepakat enggan patuh

Umno dan PAS masih menolak untuk mengisytiharkan aset mereka seperti kehendak usul yang diluluskan Dewan Rakyat pada Julai lalu.

Mengikut peraturan itu, semua anggota parlimen perlu mengisytiharkan harta masing-masing dalam tempoh tiga bulan.

Bagaimanapun bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) pertubuhan itu tidak ada masalah atau rasa keberatan jika wakil rakyat mereka mahu membuat pengisytiharan berkenaan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Setiausaha Agung GPS, Alexender Nanta Linggi, walaupun tiada perbincangan atau kenyataan rasmi dibuat mengenai peraturan itu, mereka berasakan pengisytiharan berkenaan bukan masalah besar untuk dilakukan.

Beliau yang juga anggota parlimen Kapit menjelaskan, kebanyakan anggota parlimen GPS berasakan tiada salahnya untuk mengisytiharkan harta masing-masing.

"Oleh sebab itu kami mematuhinya," kata beliau.

Sementara itu Anggota Parlimen Jelebu, Jalaluddin Alias, berkata gabungan pembangkang membuat keputusan untuk enggan mematuhi peraturan itu sejak Julai lalu.

Kerajaan kena telus dulu

Katanya, usul itu tidak mengikut undang-undang dan mengancam keselamatan keluarga anggota parlimen.

Beliau yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno menambah, tiada sebab untuk mereka mengisytiharkan aset masing-masing kepada speaker Dewan Rakyat kerana parti itu bukan menjadi kerajaan.

Tambahan pula, kata Jalaluddin, mereka sudah membayar cukai kepada Lembaha Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan tiada sebab untuk anggota parlimen pembangkang mengisytiharkan harta kepada speaker.

"Sekarang kami dalam blok pembangkang. Tak ada sebarang cara untuk kami menyalahgunakan kuasa.

"Tak ada sebab untuk kami buat pengisytiharan," katanya.

Ditanya mengenai pentingnya semua wakil rakyat telus kepada pengundi, Jalaluddin berkata, kerajaan harus bersikap begitu dan membuktikannya terlebih dulu.

Dewan Rakyat pada 1 Julai lalu meluluskan usul mewajibkan semua anggota parlimen mengisytiharkan aset masing-masing namun ia ditolak oleh pembangkang semasa perbaasan.

Bagaimanapun semasa proses pengundian bagi usul tersebut, pembangkang tidak menyatakan bantahan masing-masing.

Boleh kena penjara, denda

Selain anggota pembangkang, turut tertakluk kepada peraturan tersebut ialah pasangan mereka, anak yang berumur 21 tahun dan ke atas, serta pemegang amanah.

Sumber dari pejabat menteri menyatakan, berdasarkan usul yang diterima itu anggota parlimen diberi tempoh tiga bulan - atau sehingga 1 Okt lalu - untuk memenuhi tuntutan berkenaan.

Menurut sumber itu, sesiapa yang gagal boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Dan Keistimewaan Dewan Rakyat.

"Tidak ada lanjutan bagi tempoh akhir pengisytiharan," katanya.

Sementara itu sumber yang lain memberitahu ramai anggota parlimen pembangkang sudah berbuat demikian.

Untuk rekod sesiapa yang memberikan maklumat palsu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 199 Kanun Keseksaan dan dihukum mengikut Seksyen 193 yang membolehkan pesalah dihukum penjara sehingga tiga tahun dan denda.

Jalaluddin berkata jika beliau tidak keberatan jika dirujuk ke jawatankuasa parlimen kerana tidak mematuhi peraturan tersebut.

Ketua Umno Sabah merangkap anggota parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin, berkata beliau mengikut keputusan parti untuk tidak membuat pengisytiharan.

Katanya peraturan itu cuma suatu usul yang diluluskan dalam Dewan Rakyat dan tidak bersifat mandatori.

"Kami sudah serahkan (butiran yang berkenaan) kepada LHDN, jadi tak perlu isytihar lagi.

"Ini juga suatu pencerobohan kepada segala butiran peribadi anggota parlimen," katanya.

Ditanya sama ada beliau takut atau tidak jika dikenakan tindakan Bung Moktar berkata, tiada apa yang perlu dirisaukan kerana semua pembangkang akan berdepan isu sama.

"Apa nak jadi, jadilah," katanya.


Baca Isytihar harta idea komunis, kata Hadi


Bagi Anggota Parlimen Kubang Kerian, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata bagi wakil-wakil rakyat PAS mereka membuat pengisytiharan kepada pemimpin parti berkenaan.

Mengenai peraturan berkenaan, timbalan presiden PAS itu berkata, kerajaan tidak menggunakan peruntukan yang betul untuk menguatkuasakannya.

Menegaskan sumber peruntukan itu mesti diperjelaskan, Tuan Ibrahim berkata, mengikut apa yang difahami PAS, ia tidak bernilai.

"Sebagai contoh, parlimen tak ada kuasa terhadap isteri dan anak-anak anggota parlimen.

"Apa hak parlimen untuk ambil tindakan sekiranya isteri wakil rakyat tak nak isytihar? Isteri wakil rakyat bukan anggota parlimen. Jadi, kita kena jelas dari segi sumber kuasa itu," katanya.

[Baca berita penuh]