Husam sah ketuai Amanah Kota Bharu
Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa, memperkuatkan Amanah Kota Bharu apabila dipilih sebagai ketua bagi kawasan itu.
Dalam mesyuarat dan pemilihan semula yang berlangsung malam tadi, naib presiden Amanah itu berada pada kedudukan ketiga tertinggi daripada 31 calon anggota jawatankuasa yang bertanding.
Husam memperolehi 47 undian daripada 66 perwakilan yang mengundi.
Berbanding dengan parti politik lain, Amanah mempunyai mekanisme berbeza untuk menentukan kepemimpinan di pelbagai peringkat.
Untuk kawasan, seramai 15 calon dengan undi tertinggi dipilih sebagai anggota jawatankuasa dan mereka kemudian bermesyuarat untuk memilih ketua dan jawatan lain.
Hasil perbincangan dalam kalangan 15 orang yang mendapat undi tertinggi malam tadi, bekas exco kanan kerajaan Kelantan itu sekali lagi dipilih sebagai ketua.
Sebagai rekod, Husam menang pada pemilihan yang diadakan sebelum ini dan dilantik sebagai ketua Amanah Kota Bharu, namun pemilihan tersebut dibatalkan oleh sebab teknikal dan pengundian kali kedua dibuat.
Pemilihan semula itu dibuat atas arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) melalui Jawatankuasa Pemilihan Amanah Nasional, baru- baru ini.
Dalam perkembangan sama, penyandang ketua Amanah Kota Bharu, Che Kamaruzaman Che Ismail, gagal meraih undi mencukupi untuk meletakkan dirinya dalam kalangan 15 calon terbaik.
Sementara itu Timbalan Ketua Amanah Kota Bharu, Zuhairi Ismail, berkata keputusan melantik Husam mengetuai kawasan tersebut dibuat sebulat suara.
Katanya pemilihan berjalan lancar walaupun Husam tidak hadir kerana berada di luar negara.
"Melalui pelantikan barisan kepimpinan kali ini kami harap Amanah Kota Bharu akan bergerak ke depan dalam mencapai misi dan visi parti," katanya kepada Malaysiakini di Kota Bharu, semalam.
Selain itu, bagi jawatan naib ketua satu dan dua pula masing-masing diisi Jasman Jaafar dan Dr Hafidzah Mustakim.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai