'Kita beli harga Melayu, jual pun harga Melayu'
Kerajaan hari ini mengemukakan tawaran lebih tinggi untuk membeli tanah di Kampung Baru, Kuala Lumpur, iaitu RM1,000 bagi setiap satu kaki persegi kepada pemilik dan pewaris di kawasan tersebut.
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, berkata tawaran baru itu memperuntukkan harga tanah akan dibayar secara tunai RM850 sekaki persegi, manakala baki RM150 sekaki persegi lagi akan diberikan kepada pemilik sebagai pegangan saham dalam syarikat tujuan khas (SPV) yang bakal dibentuk.
"Perincian struktur pegangan saham akan diperinci dan dimuktamadkan sebelum perjanjian ditandatangani.
"Dengan saham ini bermakna pemilik kekal atas tanah yang dibangunkan. Kita nak galakkan orang Kampung Baru duduk dan datang balik ke Kampung Baru,”katanya dalam sidang media khas pengumuman hala tuju dan tawaran kerajaan kepada pemilik tanah Kampung Baru di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.
Selain itu, kata Khalid, mana-mana pemilik yang membeli hartanah di kawasan pembangunan itu juga akan diberikan diskaun sebanyak 15 peratus.
Menurutnya keputusan tawaran yang diberikan kepada 825 pemilik lot di Kampong Baru itu dibuat hasil dua pertemuan bersama Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.
Terlalu tinggi tak mampu beli
Khalid yang juga anggota parlimen Shah Alam menambah, tawaran terbaru dikemukakan itu adalah yang terakhir boleh diberikan kerajaan kepada pemilik tanah Kampung Baru.
"Saya kira ini tawaran yang akhir dan yang terbaik yang ingin dikemukakan kerajaan kepada semua pemilik tanah Kampong Baru," kata Khalid.
Khalid juga berkata, tawaran asal bagi empat pilihan kepada pemilik tanah seperti diumumkannya pada 21 Sept ketika sesi pertemuan bersama mereka juga kekal.
Empat tawaran yang diberikan kepada pemilik untuk membuat pilihan ialah mereka boleh menerima pulangan secara tunai, pulangan dalam bentuk unit siap, kombinasi pulangan tunai dan unit siap, serta pulangan sebagai pemegang saham dalam SPV.
"Saya nak beli, (kemudian) nak jual pada Melayu.
"Kalau jual harga tinggi (sangat) Melayu tak mampu beli. Kita beli harga Melayu, kita jual harga Melayu juga," katanya.
Pada 21 Sept lalu, Khalid mengumumkan kerajaan akan menawarkan RM850 bagi setiap kaki persegi tanah yang terlibat dalam pembangunan Kampung Baru.
Bagaimanapun, sebahagian besar penduduk berpendapat tawaran harga itu tidak setimpal memandangkan lokasi strategik petempatan itu dan meminta kerajaan mengkajinya semula.
Kemudian pada 6 Okt, Mahathir memberitahu sidang media bahawa tanah Kampung Baru akan dijual kepada agensi kerajaan untuk dibangunkan, bukan pihak lain.
Beliau berkata agensi kerajaan itu pula akan membantu pemilik tanah berkenaan membangunkan Kampung Baru tanpa mengabaikan ciri-ciri asal lokasi berkenaan.
Khalid dalam sidang medianya juga berkata, daripada 2,500 borang maklum balas yang dikeluarkan ketika sesi pertemuan bersama penduduk pada Sept, seramai 1,371 maklum balas dikembalikan dan daripada jumlah itu, katanya 96 peratus menyatakan persetujuan mereka.
"Ini tawaran terakhir, apa kita akan buat selepas ini adalah turun dan bertemu pemilik setiap lot dan jelaskan.
"Sama ada dia setuju atau tidak, biar atas dasar pemahaman jelas... saya rasa mereka masih ada yang tidak faham," kata Khalid.
Lebih 5,000 penduduk terlibat
Tarikh akhir bagi penyerahan borang maklum balas itu ditetapkan pada 30 Nov ini.
Mengikut pelan, pembangunan Kampung Baru akan melibatkan kawasan keluasan 153.46 ekar.
Antara pembangunan yang dicadangkan ialah pembinaan sebuah menara mercu tanda setinggi 90 tingkat.
Berdasarkan konsep pelan pembangunan yang dicadangkan, terdapat 10 komponen pembangunan akan dibuat, merangkumi Taman Warisan Kampung Baru; Pusat Seni, Persembahan, dan Kebudayaan Melayu; Kompleks Warisan Melayu; dan Residensi Park View yang merupakan kediaman eksklusif berhadapan Taman Warisan Kampong Baru.
Selain itu, komponen kelima turut merangkumi Residensi Wilayah yang memuatkan kawasan perumahan mampu milik, residensi sederhana padat, residensi kepadatan tinggi; kawasan pembangunan bercampur, koridor perdagangan yang merangkumi menara, pejabat, dan hotel serta komponen institusi.
Pelan pembangunan itu turut menggariskan 50 peratus - atau 45,000 unit rumah - yang dibina adalah kediaman mampu milik, berbanding 4,500 kediaman sedia ada sekarang.
Pelan itu turut menyasarkan pertambahan penduduk kepada 160,000 orang, manakala 85 juta kaki persegi ruang lantai dijangka akan dibangunkan.
Bagi rancangan pembangunan itu, ia melibatkan kira-kira 825 lot tanah dengan 5,359 penduduk dijangka terlibat dalam perolehan berkenaan.
Pelan konsep pembangunan itu juga akan memperuntukkan 28 ekar sebagai kawasan Taman Warisan dan 10 peratus daripada 9 juta kaki persegi ruang lantai pembangunan komersial diperuntukkan kepada sektor komersil mampu milik.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai