Hew: Komik saya bukan penerbitan DAP
Hew Kuan Yau hari ini berkata komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan- Meraih Manfaat Bersama (BRI)' yang ditulisnya bukan diterbitkan DAP dan beliau akan mengambil tanggungjawab penuh terhadap sebarang isu berkenaan komik itu.
Hew yang keluar DAP pada 2016 berkata, sasaran sebenar pihak yang mengkritik komik itu bukan dirinya, tetapi pihak yang dianggap berada di belakangnya, iaitu DAP.
"Hakikatnya ia bukan penerbitan DAP. Saya ulang, ia tak diterbitkan DAP," katanya kepada pemberita selepas memberi keterangan di ibu pejabat polis di Bukit Aman.
"(Pihak yang mengkritik) Dakwa saya membantu DAP untuk mempromosikan komunisme. Bagi saya, alasan sentiasa ada jika anda mahu kecam seseorang," katanya.
Hari ini Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob menyifatkan komik itu sebagai "buku DAP" dan berkata ia mempromosikan ideologi komunis.
Ditanya berkenaan prakata yang ditulis Pengerusi DAP Tan Kok Wai dan Setiausaha Agung Lim Guan Eng, Hew berkata beliau yakin kedua-duanya telah membaca komik itu.
"Mereka sepatutnya telah membacanya, tetapi biar polis menyiasat. Mereka hanya tulis prakata," katanya.
Katanya, beliau akan mengambil tanggungjawab penuh selaku penulis teks dalam komik itu, dan kartunis Chong Po Ling (atau nama penanya Tomato) hanya menyumbang lakaran.
Terdahulu Ketua Pemuda DAP Howard Lee berkata komik itu tidak mencerminkan pendirian parti, manakala Anggota Parlimen Bukit Mertajam dari DAP Steven Sim berkata komik itu tiada kaitan dengan parti itu.
Ia selepas 43 pemimpin akar umbi DAP, termasuk lima adun, membidas keputusan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang menghalang pengedaran komik itu di sekolah.
Mengulas lanjut, Hew berkata beliau membuat kajian dengan membaca pelbagai jurnal dan tesis sebelum menulis komik itu.
Berkenaan kritikan bahawa komik itu merupakan propagandan China, terutama berkenaan isu Laut China Selatan dan layanan negara itu terhadap etnik Uyghur, beliau berkata hanya menyatakan pandangannya dari sudut sejarah.
"Selaku ahli sejarah, saya hanya menyatakan tafsiran saya tentang BRI melalui komik," katanya sambil menambah tidak wajar untuk membuang BRI daripada konteks sejarah atau tidak menyebut perihal Presiden China Xi Jinping dalam bukunya.
Hew merupakan antara empat individu yang memberi keterangan berkenaan komik itu kepada polis hari ini.
Tiga lagi yang dipangil untuk membantu siasatan ialah Chong Po Ling, Pengurus Muzium Kebudayaan dan Komik Asia Raymond Chong dan seorang wakil daripada syarikat pencetak.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mewartakan perintah larangan terhadap komik itu berdasarkan Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai