Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Skandal 1MDB: Malaysia, Goldman bincang penalti lebih kecil - Bloomberg

Malaysia sedang membincangkan penyelesaian bernilai AS$2 hingga $3bilion dengan Goldman Sachs berhubung dakwaan peranan bank Amerika Syarikat itu dalam skandal 1MDB, lapor Bloomberg.

Jumlah itu kurang daripada separuh jumlah yang sebelum ini dituntut oleh negara.

Penyiasat di Malaysia dan Amerika Syarikat berkata kira-kira AS$4.5 bilion telah disalahgunakan dari dana pelaburan negara 1MDB yang ditubuhkan pada tahun 2009 oleh bekas perdana menteri Najib Razak yang sedang berdepan dengan beberapa pertuduhan di mahkamah.

Tahun lalu, Malaysia memfailkan tuduhan jenayah terhadap Goldman berhubung peranannya sebagai underwriter atau penaja jamin dan pengatur bagi tiga jualan bon untuk mendapatkan AS$6.5 bilion bagi pihak 1MDB. Pendakwa pada Ogos lalu memfailkan tuduhan jenayah terhadap 17 bekas dan pengarah semasa di Goldman.

Menteri Kewangan Malaysia pada Januari lalu berkata kerajaan bersedia untuk membincang menggugurkan pertuduhan terhadap Goldman jika mereka bersetuju membayar pampasan AS$7.5 bilion.

Goldman tidak mengulas tentang sebarang angka, tetapi berkata tahun lalu dilaporkan telah meletakkan AS$1.8 bilion untuk menampung kemungkinan kerugian yang berkaitan dengan prosiding undang-undang 1MDB.

Memetik mereka yang mempunyai pengetahuan tentang perkara itu, Bloomberg berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berminat untuk mencapai perjanjian dengan Goldman tahun ini memandangkan kerajaan sedang bergelut dengan beban hutang yang tinggi.

Goldman enggan mengulas mengenai laporan itu. Jurucakap Dr Mahathir juga tidak mahu memberi sebarang komen.

- Reuters

[Baca berita penuh]